Saturday, June 12, 2010

Hikmah lepas cerai

Oleh Aniza Zainudin
am@hmetro.com.my
2010/06/12

KUALA LUMPUR: “Kehadiran lima anak membuatkan saya bangkit dan bekerja keras bagi menampung kehidupan yang sebelum ini ditanggung bekas suami,” kata penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu yang menyertai program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-Kit), bidang terapi spa.

Peserta, Puteri Sharron Aldila Abd Shukor, 41, berkata selepas bercerai pada 2008, dia menyedari sukar mendapat pekerjaan profesional berikutan faktor umur lantas memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan, yang rata-rata pelanggan adalah rakannya sendiri sebelum ia berkembang.


“Sebelum ini, saya sering membantu bekas suami berniaga katering dan dari situ saya mendapat pengalaman.


“Kemudian, saya berminat untuk belajar teknik urutan sebelum menyertai program I-Kit dianjurkan Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya pada 19 Oktober tahun lalu,” katanya.


Puteri Sharron Aldila adalah antara 25 peserta I-Kit diraikan dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program I-Kit, bidang Terapi Spa, yang dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd, di sini, semalam.


Menurutnya, program yang berlangsung selama enam bulan dan berakhir 30 April lalu, memberi pendedahan sebenar mengenai teknik terapi termasuk anatomi manusia.


Selepas tamat pengajian, dia memulakan perniagaan terapi spa secara bergerak dan mampu mengurut empat pelanggan dalam tempoh sehari.


Sementara itu, rakannya, Che Asita Yahaya, 49, berkata, sudah bekerja sebagai tukang urut sejak 12 tahun lalu.


Namun selepas bercerai, dia nekad mendalami bidang itu dan pada 2008 dia mengikuti kursus anjuran Universiti Teknologi Malaysia.


Berbangga dengan pencapaiannya, Che Asita kini bergelar pengajar di sebuah spa dan bakal mengikuti Diploma Pengamal Perubatan Melayu, Julai depan. Sementara itu, Wan Hasmah turut berbangga dengan pencapaian peserta yang sudah memulakan perniagaan sama ada secara sepenuh masa dan sambilan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hikmahlepascerai/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...