2010/07/22
KUALA LUMPUR: Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju menutup tiga kes berprofil tinggi membabitkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, kata pengerusinya, Tan Sri Dr Hadenan Abd Jalil.
Menurut beliau, antara sebab kes terbabit ditutup dan tidak dilanjutkan penyiasatan, kerana tidak ada kaitan kes rasuah dan tiada saksi, malah pihak yang menuduh didapati gagal menentukan penerima rasuah terbabit.
“Disahkan memang kes itu tidak diambil tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Operasi bilangan tujuh suku tahun kedua 2010, di SPRM, semalam.
Dr Hadenan berkata, kes Liow yang dikatakan menerima rasuah sebuah Toyota Alphard atas nama isterinya daripada syarikat pembinaan, ditutup kerana SPRM mendapati tidak ada kaitan dengan hubungan rasmi, malah kenderaan itu dibeli sendiri olehnya.
Bagi kes berkaitan dengan jamuan Aidilfitri 2008 oleh Khalid, katanya panel bersetuju supaya ditutup kerana majlis itu sudah dilaksanakan dan dihadiri orang ramai, bukannya membabitkan individu tertentu.
“Kes membabitkan Ong yang dikatakan menerima wang tunai RM10 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi, tidak diambil tindakan lanjut kerana tiada saksi dan sukar untuk disahkan, malah pihak yang menuduh tidak dapat menentukan penerima wang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat panel itu juga mengulang kaji kes lain yang dicadangkan supaya tidak ada tindakan khas dan tindakan seterusnya. “Kali ini kita diberi 63 kes untuk ditutup. Namun panel bersetuju dan mengambil keputusan supaya dua daripada kes itu dibuka semula. Dua kes itu bukan berprofil tinggi,” katanya.
Menurutnya, bagi tempoh dari awal Januari hingga pertengahan tahun ini SPRM membuka siasatan 673 kes, berbanding 923 kes bagi keseluruhan tahun lalu manakala jumlah tangkapan sejak kempen memerangi rasuah dilancarkan seramai 206 pemberi rasuah ditangkap.
“Saya ucap tahniah pada orang awam kerana bekerjasama dengan kami. Ini menunjukkan petanda yang baik,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/3kesprofiltinggitutup/Article
No comments:
Post a Comment