Thursday, July 22, 2010

'Doktor cinta' lesap RM20,000

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/07/22

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki kasanova menjaja kisah sedihnya yang kononnya hidup sebatang kara bagi memperdaya gadis-gadis yang dikenali melalui laman sembang untuk memberi wang kepadanya.

Lebih memeranjatkan, kebanyakan mangsa yang kerugian berpuluh ribu ringgit termakan helah dan pujukan ‘doktor cinta’ terbabit yang berjanji mahu berkahwin dengan mereka dalam tempoh terdekat.


Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amalina, 38, berkata, dia mula mengenali lelaki terbabit yang dikenali sebagai Nazaruddin, September tahun lalu selepas diperkenalkan rakannya melalui satu laman sembang.


“Tanpa berselindung dia memberitahu amat cintakan saya dan merancang untuk memperisterikan saya Jun lalu,” katanya.


Menurutnya, lelaki terbabit memberitahu bekerja sebagai tutor di sebuah kolej pendidikan perubatan swasta dan mendakwa hidup sebatang kara berikutan ibunya sudah meninggal dunia.


“Sejak itulah bermula lakonan liciknya yang mendakwa dia tidak dibayar gaji oleh majikan selain mengalami kemalangan jalan raya. Akibat simpati, saya memasukkan wang ke dalam akuan bank miliknya dengan niat mahu membantu,” katanya.


Menurutnya, dia tidak hanya membayar wang ansuran motosikal dan sewa rumah teman lelakinya itu malah turut memberikan wang sara hidup sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.


Namun selepas memberikan wang lebih RM20,000, dia mula menyedari ditipu selepas lelaki terbabit tiba-tiba hilang tanpa dapat dihubungi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DoktorcintalesapRM20000/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...