Thursday, July 22, 2010

Harga gula, telur naik di Thailand




BANGKOK - Buat pertama kalinya dalam tempoh 30 tahun, Thailand terpaksa mengimport gula kerana kerajaan gagal memastikan bekalan yang mencukupi.

Kenaikan harga itu menyebabkan para peniaga makanan di jalanan di Bangkok merasai keperitan.

Jika harga gula dan telur berterusan naik, peniaga akan menaikkan harga makanan yang popular di kalangan penduduk tempatan.

Thailand yang merupakan pengeksport kedua terbesar gula, secara kasarnya menghasilkan tujuh juta tan metrik gula setahun.

Lazimnya, dua juta tan gula diperuntukkan untuk rakyat Thai.

Namun, bekalan itu kian berkurangan selepas harga gula dunia mencecah harga tertingginya dalam tempoh tiga dekad iaitu AS$750 (RM2,407) setiap tan pada Januari lalu.

Bagi meminimumkan kekurangan bekalan, kerajaan Thai membeli sebanyak 74,350 tan gula pada harga AS$705 (RM2,266) hingga AS$720 (RM2,314) satu tan.

Biarpun begitu, penjual makanan di jalanan yang bergantung kepada komoditi tersebut masih tidak berasa lega.

Seorang penjual buah-buahan, Charoen Saengsilp, 51, membeli gula pada harga 28 baht (RM2.80) sekilogram (kg), naik AS$0.31 (RM1) berbanding tahun lalu.

Harga itu lebih tinggi daripada harga runcit yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu 23.5 baht (RM2.33) setiap kilogram.

Charoen juga memberitahu gula sukar diperoleh di kedai. Pembelian dihadkan hanya sebanyak tiga kilogram untuk setiap keluarga.

Ada pihak yang percaya kekurangan bekalan berlaku akibat sikap tamak peniaga yang menjual gula untuk kegunaan tempatan kepada pembeli luar negara untuk meraih keuntungan berlipat kali ganda.

Setiausaha Agung Majlis Gula dan Tebu, Kementerian Industri, Prasert Tapaneeyangkul menyifatkan kekurangan gula berlaku kerana permintaan industri minuman dalam negara yang meningkat.

Sementara itu, tindakan pengeluar telur ayam yang kurang mengimport ayam juga telah mengakibatkan sumber makanan itu menjadi semakin mahal.

Sebagai tindak balas, kerajaan Thai menghapuskan kuota pengimportan ayam selain membuka peluang mengimport ayam kepada syarikat-syarikat baru. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...