Thursday, July 29, 2010

Janin bayi lelaki dalam plastik

2010/07/28

KUALA LUMPUR: Belum pun tiga hari selepas mayat seorang bayi perempuan dibuang ke dalam sebuah tong sampah di Sentul di sini, tragedi sama berulang lagi apabila janin bayi lelaki yang dipercayai digugurkan ditemui di kawasan perangkap sampah Sungai Batu, Jalan Kolam Air, Setapak, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, janin bayi yang dianggarkan berusia kira-kira lima bulan dibungkus dalam plastik biru sebelum dicampakkan ke dalam sungai.


Difahamkan, kejadian itu disedari seorang pekerja pembersihan yang berada di lokasi kejadian untuk melakukan tugas membersih sampah di perangkap sampah di sungai berkenaan.


Menurut sumber, pekerja berusia 25 tahun itu curiga melihat satu plastik yang ditemui sebelum membukanya. Sebaik dibuka, lelaki terbabit terkejut apabila menemui janin bayi lelaki yang masih berlumuran darah dipercayai baru digugurkan.


“Lelaki itu segera menghubungi polis sebelum janin bayi terbabit dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, janin bayi lelaki belum cukup bulan itu dianggarkan berusia kira-kira lima bulan berdasarkan keadaannya yang sudah hampir cukup sifat.


“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat, tetapi polis sedang mengesan mereka yang bertanggungjawab membuang janin berkenaan,” katanya.


“Berikutan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. Zakaria berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek berada tidak jauh dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian malam Sabtu lalu, mayat seorang bayi perempuan yang masih mempunyai tali pusat serta uri ditemui di dalam tong sampah di flat Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul, di sini.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, seorang pengutip barang lusuh yang menggeledah tong sampah di flet berkenaan menemui satu bungkusan plastik yang mencurigakan sebelum mengeluarkannya dan meletakkan di lantai.


Pengutip terbabit terkejut sebaik membuka bungkusan apabila menemui satu objek menyerupai bayi. Selepas pasti ia adalah bayi, sebelum menghubungi polis.


Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Janinbayilelakidalamplastik/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...