murni@hmetro.com.my
2010/07/28
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam keterangannya di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menafikan dia terbabit dalam meluluskan ‘calling visa’ atau permit kerja bagi pekerja Bangladesh untuk mengisi dana politik.
Dia berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don yang didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada seseorang bernama Sim Guan Yu atau Datuk Low pada 10 Julai 2008 sebagai bayaran upah mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.
Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, pada 10.15 malam hari terbabit.
Menjawab soalan peguam Datuk V Sithambaram yang mewakili Wahid, dia juga menafikan ada meminta adik iparnya, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman mengumpul duit dana politiknya atau mana-mana individu ketika proses kelulusan permit kerja itu dilakukan.
Bagaimanapun, dia bersetuju dengan cadangan peguam bahawa walaupun kelulusan permit kerja ini diserahkan kepada Ketua Pengarah Imigresen, dia masih boleh meluluskan jika ada permohonan daripada majikan.
“Tidak wujud dana politik untuk diri saya seperti yang didakwa dalam keterangan seorang saksi, Burugabudeen Mohamed Ismail yang mengatakan bahawa dia dimaklumkan adik ipar saya (Syed Abdullah) berhubung kutipan itu.
“Bagaimanapun saya juga tidak menolak kemungkinan ada individu tertentu yang menggunakan nama saya untuk mengutip dana,” katanya.
Hakim Rosbiahanin Ariffin menetapkan 20 Ogos ini bagi membolehkan pendakwa raya dan Sithambaram mengemukakan hujahan secara bertulis.
Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas bersidang selama 28 hari dengan mengemukakan 40 saksi.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayatiadadanapolitik/Article
No comments:
Post a Comment