ya_t@hmetro.com.my
2010/07/28
PUTRAJAYA: Majikan atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan urusan pekerja asing yang gagal mematuhi peraturan akan disenaraihaitamkan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan dasar membenarkan pengambilan pekerja asing, tetapi setiap majikan perlu sedar dan memahami setiap kebenaran membawa masuk seorang pekerja asing datang bersama pelbagai bentuk peranan dan tanggungjawab yang akan ditetapkan secara jelas melalui peruntukan undang-undang.
“Kegagalan mematuhi undang-undang bermakna mereka bukan saja berdepan tindakan undang-undang malah akan disenaraihitamkan daripada mendapat kemudahan sama pada masa akan datang.
“Tindakan itu bukan hanya diambil terhadap syarikat malah kepada individu yang tersenarai dalam lembaga pengarah dan pemegang saham,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Berhubung Strategi Pelaksanaan Inisiatif Makmal Pengurusan Warga Asing di kementeriannya di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Subramaniam.
Hishammuddin berkata, tindakan itu adalah antara 29 inisiatif yang dikemukakan Makmal Pengurusan Warga Asing (MPWA) yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu Fasa I (Julai hingga Disember 2010); fasa II (Januari hingga Jun 2011 ) dan fasa II (Julai hingga Disember 2011).
Beliau berkata, sebahagian besar inisiatif yang dilaksanakan dalam fasa I akan tertumpu kepada aspek pemantapan peraturan dan undang-undang serta penambahbaikan syarat dan peraturan berhubung kemasukan, keberadaan dan proses keluar masuk warga asing.
Katanya, penambahbaikan itu membabitkan semua kategori warga asing seperti pelajar, pekerja dan pelancong.
Menurutnya, inisiatif yang akan dilaksanakan dalam fasa II membabitkan penggunaan sistem Biometrik di setiap pintu masuk negara dan pembinaan pangkalan data majikan bagi membolehkan identiti setiap pelawat ke negara ini direkodkan supaya mereka yang dilarang memasuki negara dapat dikenal pasti.
“Selain itu, inisiatif ini juga memudahkan pergerakan penguatkuasaan secara menyeluruh tanpa bergantung kepada dokumen warga asing seperti dilaksanakan ketika ini.
“Ini bermakna, gejala pemalsuan dokumen dan taktik pembuangan dokumen tidak boleh lagi dijadikan kaedah untuk warga asing yang melakukan kesalahan imigresen melepaskan diri,” katanya.
Hishammuddin berkata, pangkalan data majikan pula akan merekodkan segala maklumat berkaitan majikan, dengan wujudnya pangkalan data ini semakan terhadap rekod pengambilan dan pengurusan warga asing oleh sesuatu majikan dapat dibuat dari masa ke semasa khususnya apabila majikan memohon untuk mengambil pekerja asing baru.
“Semakan juga boleh dibuat terhadap rekod pekerja yang hilang dan pekerja yang tidak memperbaharui permit apabila tamat tempoh,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SistemBiometrik/Article
No comments:
Post a Comment