junita@bharian.com.my
2010/07/09
MUAR: Gara-gara suami menghilangkan diri tanpa khabar berita, seorang wanita terpaksa meminta ihsan ibu bapa yang sudah tua dan bekerja sebagai nelayan untuk membesarkan lima anak selepas ditinggalkan lebih setahun lalu.
Zalita Abu, 34, dari Parit Samsu dekat sini, tidak mampu untuk menyara keluarganya selepas dia kemalangan menyebabkan sebelah badannya tidak bermaya, malah mata kanan juga tidak dapat melihat dengan jelas.
Keadaan itu menyebabkan Zalita tidak mempunyai pilihan kecuali bergantung sepenuhnya kepada bapanya, Abu Jaafar, 65, yang bekerja sebagai nelayan pantai dengan pendapatan RM20 sehari, manakala ibunya, Rogayah Kassim, 65, mengambil upah memasak di sebuah warung di kampung itu bagi menampung kehidupan mereka.
Menurutnya, dia ditinggalkan suaminya sejak April tahun lalu ketika hamil empat bulan dan sejak itu tidak pernah dihubungi atau menemui suaminya yang berusia 37 tahun yang bekerja sebagai penjual ikan di Pasar Parit Jawa.
Katanya, ketika itu, dia yang sedang hamil anak kelima tinggal di rumah sewa berhampiran kampungnya sebelum mengambil keputusan berpindah ke rumah ibunya beberapa bulan kemudian.
“Saya kesal dengan sikap suami yang meninggalkan kami tanpa sebarang berita hingga kini,” katanya.
Menurutnya, sebelum itu, rumah tangganya tidak mengalami masalah sebelum suami keluar rumah sejak April lalu dan tidak pernah bertanya keadaannya bersama lima anak.
“November lalu, saya bekerja sebagai kerani di sebuah kilang berhampiran tetapi dua bulan kemudian mengalami kemalangan apabila motosikal yang ditunggangi dilanggar lari menyebabkan saya cedera parah hingga koma beberapa hari.
“Kemalangan itu menyebabkan bahagian kanan badan tidak bermaya dan tidak dapat membuat kerja kuat, malah mata kanan tidak dapat melihat dengan jelas menyebabkan tidak dapat lagi bekerja bagi menampung kehidupan keluarga,” katanya.
Zalita berkata, ibu bapanya membesarkan lima anaknya termasuk tiga yang masih bersekolah, Nur Shahira, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda dan dua lagi belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Shamsu, Mohamad Syaiful, 10, dan Mohamad Shahril, 8.
Katanya, dua lagi anaknya, Mohamad Shahrul, 2, dan Mohamad Shamil, sembilan bulan, masih terlalu kecil untuk mengerti kesusahan dialami mereka, malah lebih menyedihkan apabila mereka langsung tidak berpeluang mengenali bapa mereka.
“Sepatutnya saya yang membantu ibu bapa yang sudah tua, sebaliknya mereka pula yang terpaksa membantu membesarkan anak dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamilarianakmerana/Article
No comments:
Post a Comment