Friday, July 9, 2010

253 andartu ditipu RM4j



Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
2010/07/09

KUALA LUMPUR: Dengan hanya bermodalkan komputer peribadi, sekumpulan pelajar kolej swasta dipercayai mampu mengaut keuntungan mencecah RM4.7 juta melalui janji manis dan perkenalan singkat dengan rakan di laman sosial.

RAMPAS...Rohaimi menunjukkan  komputer riba dan wang palsu yang dirampas dalam serbuan.
RAMPAS...Rohaimi menunjukkan komputer riba dan wang palsu yang dirampas dalam serbuan.
Pelajar terbabit terdiri daripada warga asing mensasarkan golongan andartu sebagai ‘rakan baik selamanya’ dalam laman sosial itu sebelum memperdaya mereka kononnya ingin menghantar bungkusan hadiah istimewa berupa barangan berharga sebagai tanda persahabatan.

Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman), Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, kumpulan terbabit dikenali sebagai ‘African Scam’ dikesan bergiat aktif sejak awal tahun ini dan sehingga kini, sudah memperdayakan 253 mangsa membabitkan kerugian RM4.7 juta.

“Setakat ini, polis sudah menahan 21 pelajar warga asing terbabit dalam beberapa siri serbuan dalam tempoh dua minggu lalu di sekitar Jalan Ampang, Puchong dan Kajang hasil laporan dibuat mangsa.

“Daripada tangkapan itu, 16 daripadanya warga Nigeria, masing-masing seorang lelaki warga Ghana, Ivory Coast dan seorang wanita warga Botswana, serta Filipina. Turut ditahan seorang wanita tempatan,”
katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Difahamkan, suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu memperdaya wanita warga tempatan berpendidikan tinggi dan berpangkat eksekutif berusia 40-an hingga 50-an sebagai mangsa mereka.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai sejumlah RM42,979, 13 komputer riba, sebuah komputer meja, 16 telefon bimbit dan satu pena pemacu.

“Turut dirampas lima slip bank, tiga ikat mata wang AS$100 palsu, tiga ikat kertas potong kosong dipercayai akan dicetak sebagai wang palsu, satu cop keselamatan, serta salinan dokumen bertajuk ‘United State of America Federal Reserve Note Anti Breeze’ untuk tujuan penipuan.

“Semua tangkapan dan rampasan itu hasil intipan dan risikan polis selama seminggu terhadap mereka yang terbabit selepas menerima maklumat mangsa,” katanya.

Rohaimi berkata, sindiket itu didalangi warga Afrika dan semakan ke atas nombor akaun bank digunakan untuk mengikis wang mangsa didaftarkan atas nama warga tempatan dipercayai turut bersubahat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...