Friday, July 9, 2010

Suamiku curang

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
2010/07/09

MELAKA: Seorang isteri tidak menyangka sekumpulan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) bersama anggota polis yang mengiringi suaminya turun dari rumah mereka sebenarnya mencekup lelaki terbabit selepas disyaki melakukan kesalahan berkhalwat, kelmarin.

Wanita berusia 21 tahun itu dikatakan langsung tidak terkejut sebaik terserempak suaminya dibawa bersebelahan keretanya yang ketika itu baru tiba di perkarangan Pangsapuri Taman Kota Laksamana, dekat sini, selepas dipercayai baru pulang dari tempat kerja.


Apabila melihat suaminya dalam keadaan mencurigakan, wanita itu segera meluru, namun suaminya meminta mengikutnya ke balai polis.


Sebaik tiba di balai polis baru isteri mengetahui rupa-rupanya suaminya berusia 24 tahun itu berlaku curang di belakangnya bersama seorang wanita berusia 26 tahun di rumah mereka.


Drama berkenaan terbongkar apabila sekumpulan pegawai penguat kuasa Jaim dan polis menyerbu rumah itu selepas menerima maklumat awam kes khalwat itu kira-kira jam 2.30 petang.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata pihaknya terpaksa menunggu hampir sejam sebelum pintu rumah berkenaan dibuka.


Bagaimanapun, katanya, selepas pasti rumah berkenaan berpenghuni, pegawainya kemudian bertindak memotong kunci pintu jeriji rumah dan kemudian mengetuk pintu sekali lagi sebelum tindakan pecah dilakukan.


“Bagaimanapun, sebaik membuka pintu dan pemeriksaan lanjut dijalankan dalam rumah itu menemui satu pasangan.


“Hasil soal siasat dilakukan, lelaki terbabit mengaku itu rumahnya dan sudah berumah tangga serta tinggal bersama isterinya dan seorang anak.


“Lelaki terbabit mengaku wanita ditahan bersamanya itu adalah teman wanitanya sebelum mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya, di sini.


Menurutnya, ketika dibawa ke kenderaan Jaim sebelum ke balai polis, secara kebetulan dia terpaksa melalui kereta yang dinaiki isterinya.

Katanya, ketika itu, isterinya baru tiba dan terkejut melihat suaminya dalam keadaan mencurigakan.


“Pasangan terbabit kemudian terus dibawa ke balai polis dengan isterinya turut sama sebelum wanita malang itu baru mengetahui mengenai penangkapan suaminya kerana berkhalwat dengan seorang wanita lain,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamikucurang/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...