anbia@hmetro.com.my
2010/08/04
KUALA LUMPUR: Hasrat membeli emas bagi simpanan hari tua berkecai apabila empat sahabat karib diperdaya dua warga Afrika yang menawarkan bijih emas tulen dengan harga runtuh iaitu 50 peratus lebih murah daripada nilai pasaran.
Difahamkan, suspek mendakwa bijih emas berasal dari lombong emas di Zimbabwe berharga RM80,000 sekilogram berbanding harga pasaran semasa yang mencecah RM150,000 sekilogram. Bagaimanapun, penipuan licik itu sukar dibongkar pada peringkat awal kerana penjenayah mengumpan mangsa menggunakan serbuk dan biji emas tulen bagi meyakinkan bahawa urus niaga itu sah.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fadhil, 30-an, berkata, dia mengenali suspek melalui Internet sebelum bertemu dengan lelaki berkenaan baru-baru ini untuk berkenalan.
Katanya, lelaki itu yang memberitahu namanya Idris, 34, mendakwa datang ke negara ini untuk melancong selain mempunyai urusan perniagaan melalui ejen dikenali sebagai Suraya. “Selepas beberapa pertemuan, Idris menawarkan saya bijih emas pada hanya RM80,000 sekilogram. Dia mendakwa emas tulen 976 itu hanya dijual kepada orang tertentu yang berminat.
“Bagi membuktikan ia tulen, saya diberikan serbuk emas dan contoh bijih emas untuk diuji bagi memastikan keasliannya,” kata mangsa ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.
Katanya, dia menghubungi rakannya Baharudin dan beberapa kenalan lain untuk menyampaikan berita baik berhubung tawaran istimewa jualan emas tulen itu.
“Semua yang melihat contoh emas itu bersetuju membuat pembelian pertama dengan membayar RM80,000. Semua rakan saya yang membawa wang tunai kemudian bersetuju menemui suspek di Ampang, Khamis lalu bagi membeli emas berkenaan.
“Namun, hanya saya dibenarkan berjumpa dengan suspek di dalam kereta dinaikinya, manakala rakan lain menunggu di luar kenderaan. Ketika itulah suspek memperdayakan saya supaya segera menyerahkan wang,” katanya.
Katanya lelaki Afrika itu bercakap pantas menyebabkan dia tidak dapat menangkap apa diucapkan.
“Saya seolah-olah dipukau sebaik bahu saya ditepuk sebelum wang yang diselitkan di paha diambil suspek. Dia menyerahkan bungkusan plastik berisi bijih emas kepada saya sebelum berlalu.
“Namun selepas ‘emas’ itu periksa, kami menyedari ia bukan emas tulen, sebaliknya hanya butiran tembaga berwarna hampir sama dengan contoh emas diberikan sebelum ini,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DiperdayarakanAfrika/Article
No comments:
Post a Comment