KUALA LUMPUR: Golongan kurang kemampuan terutama ibu tunggal yang menghadapi kes perbicaraan di Mahkamah Syariah di ibu kota berpeluang mendapat kemudahan BSK Transit merangkumi tanggungan percuma penginapan, kos makan minum dan pengangkutan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kemudahan itu diberi melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi meringankan beban kos golongan berkenaan.
Menurutnya, bagi penyediaan kemudahan BSK Transit di peringkat permulaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) memberikan sumbangan sejumlah RM100,000 kepada dana terbabit.
“Kemudahan ini kepada mereka yang memerlukan, bagi memudahkan mereka bergerak dan meringankan masalah kewangan dihadapi, supaya jangan nanti di antara punca terlewat kes di mahkamah kerana ada pihak yang tidak dapat hadir kerana kekangan kewangan mereka.
“Bagi kes di Putrajaya, BSK Transit menyediakan rumah di Presint 9 manakala bagi kes di Kuala Lumpur, mereka akan ditempatkan di Hotel Tunes dan Dar Assa’adah.
“Melalui dana yang kita ada akan dibelanjakan untuk perbelanjaan mereka seperti keperluan makan minum dan pengangkutan dari hotel ke mahkamah,” katanya pada Majlis Perasmian BSK Transit dan Munaqashah BSK di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie JKSM, Tan Sri Ibrahim Lembut dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja BSK, Datuk Kamilia Ibrahim.
Jamil Khir berkata, melalui kemudahan yang julung kali disediakan kerajaan itu proses perbicaraan dapat dilaksanakan lebih lancar dan cepat manakala kebajikan pihak terbabit terjamin.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kemudahantransitbantukessyariah/Article
No comments:
Post a Comment