Monday, August 16, 2010

Gelisah anak terjawab

Oleh Mohamad Hussin

2010/08/16

YAN: “Arwah ibu sepatutnya berbuka puasa di rumah saya petang ini (semalam) dan solat Tarawih di Alor Setar, tetapi hajat arwah tidak kesampaian,” kata Hashimi Hassan, 53, anak tunggal Lian Osman, 74, yang ditemui mati terbaring dalam keadaan bogel dipercayai dirogol sebelum dibunuh perompak di ruang tamu rumahnya di Kampung Teluk Mak Acheh di sini, semalam.

Katanya, arwah ibunya yang juga bekas guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Yan Kecil di sini, tinggal seorang diri selepas kematian suami sejak beberapa tahun lalu.


“Saya menghubungi arwah pada jam 8 pagi semalam beberapa kali, tetapi telefon rumah tidak dijawab membuatkan saya gelisah dan tertanya-tanya.


“Saya tidak mengesyaki perkara buruk berlaku kerana mungkin ibu keluar ke rumah jiran. “Bagaimanapun, kira-kira jam 2 petang semalam, saya dikejutkan dengan panggilan daripada penghulu kampung yang memaklumkan ibu saya meninggal dunia akibat kejadian pecah masuk rumah,”
katanya yang ditemui di rumah ibunya di sini, semalam.


Penghulu Mukim Yan yang juga sepupu mangsa, Mohd Shukri Ahmad, 56, berkata dia menyedari kejadian itu selepas seorang jiran terjumpa dompet miliknya di tepi jalan kira-kira 30 meter dari rumahnya pada kira-kira jam 1 tengah hari. “Saya ke rumahnya kerana bimbang mangsa tidak membuka pintu pagar seperti kebiasaan. “Saya memasuki kawasan rumah sambil memanggil mangsa, tetapi tiada jawapan lalu memeriksa di sekeliling rumah sebelum mendapati jeriji besi pada tingkap belakang rumah dipotong,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan, Ismail Abu ketika ditemui ditempat kejadian berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada kira-kria jam 1.30 tengah hari dan masih menyiasat punca kejadian. Katanya, polis belum mengenal pasti secara terperinci mengenai fakta kes dan tidak dapat menentukan sama ada mangsa dibunuh atau meninggal dunia atas sebab lain. “Sebaik memasuki rumah berkenaan kami dapati mayat seorang wanita terbaring di ruang tamu rumahnya, namun tiada kesan darah dilihat berhampiran. “Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gelisahanakterjawab/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...