TEMERLOH: Akibat berselisih faham, seorang janda mencurah petrol ke atas motosikal bekas suaminya sebelum membakar kenderaan berkenaan mengakibatkan kerugian kira-kira RM2,000 di Jalan Damai Persiaran Satu, dekat sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang, wanita berusia 30 tahun itu dipercayai tidak berpuas hati dengan bekas suaminya melakukan jenayah terbabit ketika mangsa menunaikan solat Jumaat.
Sebelum kejadian, mangsa berusia 35 tahun yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta, dekat sini, dipelawa bekas isterinya bersarapan bersama di sebuah restoran berhampiran.
Selepas bersarapan, mangsa pulang ke pejabat dan meninggalkan motosikal di parkir berhampiran tempat kerja manakala bekas isterinya pulang ke rumah.
Difahamkan, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga akhir 2008 sebelum berpisah awal 2009 selepas tiada keserasian selain kerap berselisih faham.
Mangsa mengenali wanita terbabit ketika bersama-sama bekerja di sebuah syarikat kereta di Bentong sebelum mangsa berhenti kerja kerana mendapat peluang pengurus di tempatnya bekerja sekarang.
Harian Metro difahamkan, wanita terbabit sering mengunjungi syarikat mangsa bekerja sehingga menimbulkan ketidakselesaan bekas suami serta pekerja.
Akibatnya mangsa menasihatkan wanita itu supaya tidak mengganggunya lagi.
Bagaimanapun, wanita terbabit berang apabila ditegur sebelum pulang ke rumah dan datang semula ke syarikat mangsa beberapa jam kemudian lalu mencurahkan petrol ke atas motosikal Yamaha Nouvomangsa dan membakarnya.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed, ketika dihubungi di sini, semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit, semalam.
Menurutnya, kejadian terbabit disedari mangsa selepas menerima panggilan daripada rakannya yang memberitahu motosikalnya hangus.
Katanya, mangsa yang tidak percaya dengan dakwaan rakannya itu membuat pemeriksaan sebelum melihat motosikalnya hangus.
Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, petang Jumaat lalu.
Ahmad Fadzillah berkata, siasatan awal mendapati mangsa mendakwa perbuatan khianat terbabit dilakukan bekas isteri keduanya yang dipercayai tidak berpuas hati selepas berselisih faham.
“Bekas isteri mangsa menyerah diri di IPD Temerloh pada jam 8.30 malam Jumaat lalu selepas dipujuk menyerah diri.
“Polis mengambil keterangan wanita terbabit untuk membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes terbabit mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jandaberangbakarmotosikalbekassuami/Article
No comments:
Post a Comment