Monday, August 2, 2010

Mahkamah Tolak Saman Maria Terhadap Ahli Perniagaan

Sabtu Julai 31, 2010

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari Jumaat menolak saman sivil personalti TV3, Maria Tunku Sabri terhadap seorang ahli perniagaan yang didakwa mengingkari penyelesaian pembayaran pampasan RM5.5 juta kerana memungkiri janji untuk berkawin.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof menolak saman tersebut dan memeintahkan bekas pengacara rancangan 'Jalan-Jalan Cari Makan' itu membayar kos RM10,000 kepada mahkamah.

Zabariah memuat keputusan itu dibuat dalam kamar selepas pertemuan kira-kira 15 minit dengan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Maria, 40, serta peguam Jagjit Singh dan Akhbardin Abdul Kader, yang mewakili ahli perniagaan Datuk Wan Johani Wan Hussin,57.

Bagaimanapun personaliti dan ahli perniagaan itu tidak hadir di mahkamah hari ini.

Akhbardin memberitahu pemberita bahawa permohonan personaliti itu ditolak atas alasan Wan Johani tidak melangar perjanjian tersebut memandang ketika perjanjian itu dibuat, Maria merupakan isteri orang dan seorang wanita yang sudah berkahwin.

"Justeru anak guam saya tidak melanggar perjanjian itu disebabkan Maria tidak berpisah dengan suaminya sewaktu perjanjian itu dibuat dan ini bermakna defendan tidak melanggar perjanjian tersebut disebabkan Maria masih isteri orang," katanya.

Akhbardin berkata mahkamah menolak permohonan itu berikutan personaliti itu bukan berada dalam kapasiti yang membolehkannya untuk berkahwin memandangkan pada masa itu Maria masih bergelar isteri orang.

"Jadi kontrak tersebut tidak sah di sisi undang-undang dan mengikut Seksyen 14(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 jelas menyatakan bahawa seorang perempuan Islam tidak boleh berkahwin lagi selagi perkahwinan itu wujud," katanya.

Beliau memaklumkan perjanjian itu secara moralnya bertentangan dengan polisi masyarakat dan ianya dilarang oleh undang-undang.

"Dalam pembelaan Maria yang menyatakan dia akan berpisah dengan suaminya juga adalah bersifat pramatang, ini disebabkan dia (Maria) masih bergelar isteri dan hak perceraian adalah terletak di tangan suaminya Ahmad Nazri Abd Malek," katanya.

Sementara itu, Sangeet ketika ditanya adakah pihaknya akan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan selepas ini, beliau berkata dia akan berjumpa dengan anak guamnya terlebih dahulu untuk mendapatkan arahan lanjut.

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Maria untuk mengemukakan semula saman terhadap Wan Johani kerana didakwa melanggar perjanjian.

Pada 2004, Maria memohon agar dikuatkuasakan perjanjian melibatkan janji oleh Wan Johani untuk membayarnya RM5.5 juta kerana beliau (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti yang dijanjikan.

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak, dan sebagai alternatifnya, berkata perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/7/31/mstar_mahkamah/20100731000207&sec=mstar_mahkamah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...