Tuesday, August 17, 2010

'Tak sayang abah lagi'

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
2010/08/17

KUALA TERENGGANU: “Saya tidak tahu sama ada anak berdendam atau tidak dengan bapa kandung yang menyebabkan mukanya melecur sedemikian rupa, namun melihat reaksinya selepas perbuatan kejam suami itu, jelas sekali nama ‘abah’ sudah tiada tempat di hati mereka,” kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang buntu memikirkan masa depan mereka sekeluarga selepas menjadi mangsa simbahan asid jenis cuka getah oleh suaminya, Mat Haizan Mat Yasin, 32.

Akhbar semalam melaporkan, dalam kejadian jam 1.45 pagi kelmarin di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu itu, suami Che Ku Zaimah yang juga seorang penagih dadah pergi ke rumahnya meminta wang RM30, bagaimanapun mangsa enggan memberikannya menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran dan berakhir dengan tragedi simbahan asid.


Che Ku Zaimah ketika ditemui di Wad Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia serta dua anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan Muhammad Irfan Firdaus, 2, akan menjalani pembedahan merawat kulit muka dan anggota badan mereka yang melecur teruk hari ini, manakala ibunya Minah Omar, 56, dibenarkan keluar hospital kelmarin.


Menurutnya, dia tergamam apabila mengingatkan pertanyaan anak keduanya, Nurul Dahyatul sama ada masih sayang atau tidak kepada suaminya selepas tragedi berkenaan kerana anaknya itu berterus-terang memberitahu sudah tidak mempunyai perasaan sayang terhadap bapanya yang sanggup bertindak tanpa perikemanusiaan itu.


Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang melawat mangsa semalam nyata sedih dan sebak dengan kejadian yang menimpa keluarga berkenaan sehingga menitiskan air mata.


Katanya, beliau berharap semua mangsa terbabit akan segera sembuh dan kerajaan negeri bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka dalam apa saja bentuk termasuk membiayai kos pembedahan serta meminta Che Ku Zaimah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sekiranya memerlukan bantuan lanjut.


“Saya tidak dapat gambarkan perkara ini berlaku, walaupun berlaku salah faham antara suami isteri, tapi janganlah anak menjadi mangsa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taksayangabahlagi/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...