Tuesday, August 17, 2010

Umpan layanan baik

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
2010/08/17

KUALA LUMPUR: “Saya ok, cuma tak berapa sihat... Jangan risau.” Demikian SMS terakhir Nur Dhiya Ain Rosman, remaja perempuan yang diperdaya sindiket penyeludupan dadah antarabangsa kepada teman lelakinya beberapa jam sebelum ditahan pihak berkuasa Capetown, Afrika Selatan, Sabtu lalu.

Mohd Nur Zakri Mohd Idrus, 22, menerima SMS itu pada jam 11.23 malam daripada Nur Dhiya selepas bertanyakan keadaannya yang berlepas ke negara asing pada 9 Ogos, tanpa pengetahuan keluarga kononnya mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan.


Nur Dhiya atau lebih mesra dipanggil Baby di kalangan keluarga ditahan di lapangan terbang Capetown selepas dikesan membawa 1.2 kilogram (kg) syabu dan kini ditempatkan di pusat tahanan Ravensmead sementara menunggu perbicaraan.


Nur Zakri berkata, sepanjang Nur Dhiya berada di Capetown, hanya dia yang dihubungi gadis itu menerusi telefon bimbit diberikan anggota sindiket dadah terbabit.


“Nur Dhiya tidak percaya dia diperangkap, sebaliknya meminta saya tidak berfikir yang bukan-bukan setiap kali menasihatkannya supaya segera menyelamatkan diri,” katanya yang ditemui pada sidang media di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini, semalam.


Menurutnya, sebaik tiba di Capetown pada 10 Ogos lalu, Nur Dhiya memberitahu dia ditempatkan di sebuah bilik hotel dan dilayan dengan baik selain sering disogok bakal menerima gaji lumayan sebagai pemandu pelancong.


“Dia juga memberitahu dibawa berjalan-jalan di Capetown dan dijamu makanan lazat, cuma pergerakannya diperhatikan beberapa lelaki serta hanya boleh berhubung menerusi SMS saja. Mungkin layanan baik sindiket itu menyebabkan dia percayakan mereka,” katanya.


Ibu mangsa, Roslah Abdul Jani, 43, berkata, dia kini hanya mampu berdoa anaknya selamat di tempat orang.


“Saya cuma tidak berpuas hati dengan kelewatan pihak berkuasa bertindak kerana saya sekeluarga membuat laporan kira-kira dua jam sebelum dia berlepas ke Capetown. Sepatutnya dia sempat ditahan ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tetapi kelewatan itu menyebabkan dia menjadi mangsa sindiket dadah,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, pihaknya sudah meminta pertolongan Wisma Putra menyediakan bantuan guaman kepada Nur Dhiya.


“Saya syorkan kerajaan membentuk satu jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah keldai dadah ini umpama dasar proaktif pihak berkuasa di pintu masuk.

“Mereka boleh bertanyakan beberapa soalan kepada mereka yang mahu ke luar negara dan jika menimbulkan syak, kita boleh kekang isu diperalatkan sindiket dadah antarabangsa ini dengan menyekat mangsa daripada keluar,” katanya. Akhbar pada 13 Ogos lalu melaporkan Nur Dhiya kali terakhir menghubungi ibunya kira-kira jam 1 pagi, 9 Ogos lalu dalam keadaan tergesa-gesa dan memberitahu berada di KLIA untuk ke Capetown.


Berdasarkan maklumat gadis yang menghidap penyakit darah tinggi kronik itu melakukan transit di Doha sebelum mendarat di Capetown.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Umpanlayananbaik/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...