Updated: Isnin Ogos 16, 2010 MYT 9:49:18 PM
KUALA LUMPUR: Tanda tanya tentang pemergian Nur Dhiya Ain Rosman ke Cape Town, Afrika Selatan, Isnin lalu terjawab apabila gadis berusia 19 tahun itu ditangkap oleh pihak berkuasa negara itu kerana memiliki dadah.
Paling kecewa apabila laporan kepada pihak bertanggungjawab diadukan, mereka menegaskan bahawa polis dan Wisma Putra dikatakan membeikan alasan 'tiada kes' yang akhirnya membawa kepada tangkapan gadis malang berkenaan oleh pihak berkuasa Afrika Selatan.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh yang turut kesal dengan 'kelekaan' pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan bagi menghalang gadis yang dipercayai diperdaya sindiket bagi dijadikan 'keldai dadah'
"Nur Dhiya telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town kerana membawa 1.2 kilogram syabu dan kini berada di pusat tahanan Ravensmead.
"Malangnya dia juga akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Belleville, Cape Town," katanya pada sidang media di Pusat Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini, Isnin.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi dari Interpol dan wakil Wisma Putra, Nur Dhiya ditangkap pada petang Sabtu lalu di Afrika Selatan.
Dalam pada itu, Muhd Khairun menyatakan rasa terkilan dengan pihak berkuasa yang seolah-olah memandang remeh aduan yang dibuat oleh ibu bapa gadis terbabit.
Katanya, berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih, pihak berkuasa sepatutnya bertindak dan melakukan sesuatu bagi menyiasat, seterusnya menghalang pemergian remaja ke Cape Town.
"Pesawat berlepas sekitar pukul tiga pagi. Laporan pula dibuat sekitar pukul satu pagi. Malang sekali dia (Nur Dhiya) telah mengatasi sistem," katanya.
Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan dapat mewujudkan dasar-dasar lebih proaktif menangani masalah dengan membuat kekangan di pintu-pintu keluar masuk negara bagi mengelakkan rakyat negara ini daripada terus menjadi 'keldai dadah'.
"Umpamanya, jika beberapa soalan asas dilontarkan sebelum dia berlepas masuk, sudah tentu boleh timbulkan syak dan ragu. Maka kita oleh panggil pihak berkuasa untuk buat pemeriksaan lanjut. Tapi malangnya kita tak ada dasar itu.
"Pihak imigresen boleh tanya soalan berdasarkan kuasa. Jika diadakan lebih proaktif, saya yakin masalah ini akan dapat diatasi," katanya.
Susulan kejadian itu, pihak Pemuda Umno akan membantu keluarga gadis terbabit mencari jalan keluar untuk menyelamatkan gadis yang dipercayai ditipu itu.
"Sehingga kini, gadis terbabit belum diwakili mana-mana peguam. Kita juga akan membantu mengemukakan rayuan dengan meminta supaya hukuman diringankan jika sabit kesalahan," katanya.
Menurut Muhd Khairun, Nur Dhiya yang dipercayai diperdaya dan dijadikan pembawa dadah juga telah dijanjikan dengan pekerjaan sebagai operator pelancongan dengan tawaran gaji lumayan.
Hal ini diakui teman lelaki gadis itu, Mohd Nur Zakri Mohd Idrus, 22, yang menjadi satu-satunya rakan yang dihubungi Nur Dhiya dari Cape Town.
Zakri yang turut hadir pada sidang media berkata sepanjang berada di sana Nur Dhiya membuat panggilan beberapa kali dan selebihnya mereka berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Dia beritahu saya dia tak berapa sihat dan minta supaya saya tak risaukan tentang dirinya. Dia minta saya jangan fikir yang bukan-bukan kerana yakin tak akan ada perkara buruk akan berlaku pada dirinya di sana.
"Dia juga beritahu dia tentang duit yang dijanjikan sebaik sahaja dia pulang ke Malaysia nanti," katanya.
Dalam masa yang sama, Zakri juga bertindak sebagai orang perantara bagi meyakinkan Nur Dhiya bahawa dia telah diperangkap dan bagi membolehkan lebih banyak maklumat diperolehi untuk tujuan siasatan kelak.
Perasaan terkilan dan kecewa turut dirasai ibu bapa gadis tersebut yang mahukan pihak berkuasa yang turut mendakwa pihak polis cuai dan membuat laporan untuk kali kedua atas dakwaan itu selepas laporan mengenai kehilangan anak mereka dibuat.
Roslah Abdul jani, 43 dan suaminya, Musa Abu Chik kesal alasan 'tiada kes' diberikan oleh pihak polis dan pihak Wisma Putra sebaik sahaja laporan dibuat sebelum anak mereka berlepas.
"Tiada guna kalau ada Wisma Putra dan kedutaan jika mereka tak boleh buat tindakan.
"Saya minta supaya anggota yang terlibat dikenakan tindakan," kata bapa mangsa.
No comments:
Post a Comment