2010/08/27
PONTIAN: “Alhamdulillah, syukur kami empat beradik dapat bersekolah lagi. Selama ini kami hanya membuang masa dengan bermain selain membersihkan kawasan luar dan dalam rumah untuk mengisi masa lapang.
“Namun, di dalam hati, kami tetap gelisah mengenangkan masa depan yang tidak menentu kerana gagal meneruskan persekolahan,” kata Norasyikin Mohd Nasir, 12, di sini, semalam.
Norasyikin dan tiga adiknya, Siti Azlin Natasha, 10, Muhammad Shamsul Fikri, 9, dan Muhammad Shazrin Hairi, 7, tinggal bersama nenek, Siti Zaleha Suib, 60, dan bapa mereka, Md Nasir Saleh, 43, di Kampung Parit Sulaiman Laut, Kayu Ara Pasong di sini.
Keempat-empat beradik itu gagal meneruskan persekolahan kerana kemiskinan dan masalah keluarga. “Kegagalan meneruskan persekolahan menyebabkan hati saya sentiasa resah apatah lagi apabila terkenang pesanan guru ilmu sangat penting dalam kehidupan untuk mengubah nasib diri.
“Namun, semangat untuk belajar tersemat kukuh di hati kami empat beradik. Setiap pagi, kami hanya mampu menjenguk rakan lain ke sekolah,” katanya.
Kata-kata semangat mereka terbukti apabila ditanya berkaitan cita-cita Norasyikin serta Muhammad Shamsul mahu menjadi polis, Siti Azlin sebagai peguam, manakala Muhammad Shazrin mahu bergelar anggota Tentera Udara Diraja Malaysia.
Md Nasir mengatakan kegagalan untuk meneruskan persekolahan keempat-empat anaknya itu disebabkan kekangan kewangan.
“Saya bekerja sebagai pemandu kereta sewa dan pendapatan itu hanya cukup menampung keperluan dapur.
“Saya berterima kasih atas kesudian pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian untuk meninjau keadaan sebenar kehidupan kami sekeluarga selain bantuan keperluan dapur dan wang tunai diberikan,” katanya yang berpisah dengan isteri sejak lapan bulan lalu.
Bagi Siti Zaleha pula, sikap prihatin ditunjukkan pegawai PPD memberi semangat kepada cucunya meneruskan persekolahan dan ia cukup menggembirakan.
“Cucu saya bercita-cita tinggi selain mahu mengubah nasib keluarga. Mereka memang mahu belajar dan syukur kerana ramai yang sanggup membantu.
“Saya doakan cucu berjaya dalam pelajaran dan kepada semua yang membantu, hanya Tuhan saja yang mampu membalasnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Sektor Pembangunan Kemanusiaan PPD Pontian, Hamid Selamat berkata, berdasarkan rekod pengurusan sekolah, empat beradik berkenaan tidak hadir ke sekolah melebihi 60 hari.
“Murid ini dikategorikan miskin dan perlu diberi bantuan emosi dan kewangan. Mereka mempunyai potensi dalam pelajaran selain semangat tinggi untuk berjaya,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Syukurdapatbersekolah/Article
No comments:
Post a Comment