KUALA TERENGGANU: “Menyambut Aidilfitri dengan meriah memang tidak pernah terlintas di fikiran kerana setiap saat, saya hanya memikirkan kemungkinan dihalau dari pondok yang dibina di atas tanah tumpangan ini,” kata Mohd Riffin Hassan, 47, dari Pengkalan Maras, Mengabang Telipot, di sini.
Menurutnya, pendapatan sebagai pemandu bot penambang sebanyak RM16 hingga RM18 sehari tidak mampu menampung perbelanjaan isteri dan enam anaknya berusia enam bulan hingga 18 tahun yang masih di bawah tanggungannya.
Katanya, lebih memeritkan mereka sekeluarga, rumah yang dibina di atas tanah milik orang sejak 20 tahun lalu, berukuran lapan meter panjang dan enam meter lebar itu tidak mempunyai tandas dan bilik tidur.
“Sekiranya ingin membuang air, anak lelaki akan ke masjid berhampiran atau ke tepi pantai manakala bagi wanita, mereka ke rumah saudara atau jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Mohd Riffin berkata, lebih menggusarkannya apabila dia tiga kali dimaklumkan oleh tuan tanah supaya keluar dari tanah tumpangan berkenaan.
Malah katanya, untuk mendapatkan bekalan elektrik, dia terpaksa menyambung punca bekalan itu daripada rumah kakak iparnya yang terletak di hadapan pondoknya dan berkongsi membayar bil.
Katanya, telur dan nasi juadah utama mereka sekeluarga berbuka puasa, namun mujur anak-anaknya memahami kesempitan hidup serta pendapatannya yang tidak seberapa sebagai pemandu bot penambang.
Mohd Riffin berkata, Aidilfitri tidak ubah seperti hari-hari biasa kerana dia sendiri tidak mampu melakukan persiapan untuk menyambutnya kerana kesempitan hidup meskipun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyrakat RM400 sebulan dan sekiranya ada sedikit lebihan wang pun, ia akan digunakan untuk perbelanjaan keluarga.
“Bagi anak-anak saya yang kecil, ibu saudara mereka ada membelikan mereka baju raya berikutan saya tidak mampu membelikan untuk semua anak-anak saya,” katanya.
Menurut Riffin, isterinya Che Kembang Mamat, 37, seorang suri rumah dan selain menyara enam anak, dia turut menyara seorang adik isterinya yang bisu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bimbangdihalausebelumraya/Article
No comments:
Post a Comment