2010/09/03
SEREMBAN: Hari terakhir perbicaraan semalam menyaksikan seorang pakar psikiatri Hospital Permai, Johor Bahru, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Rasidi Ismail, 32, dituduh membunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh, Tampin, awal Januari lalu, disahkan menghidap sakit jiwa akibat mengalami delusi dan halusinasi sejak beberapa tahun lalu.
Pakar Perunding Forensik Psikiatri hospital itu, Dr Badi’ah Yahya berkata, pihaknya melalui pakar psikiatri, pegawai dan anggota perubatan bertugas sentiasa menjalankan pemeriksaan rapi serta berkala selama 24 jam bagi menentukan keadaan fizikal dan mental tertuduh. Menurutnya yang juga saksi pembelaan, hasil perbincangan dengan semua pakar psikiatri hospital melalui proses pemeriksaan selama dua bulan berkenaan mendapati tertuduh menghidap penyakit jiwa dikenali sebagai ‘skizofrenia’.
“Bagi penyakit berkenaan, tertuduh diklasifikasikan menghidap skizofrenia paranoid’ iaitu berlaku gangguan pada pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kemerosotan fungsi psiko-sosialnya.
“Tertuduh mengalami gejala delusi atau kepercayaan palsu iaitu empat ahli keluarganya meninggal dunia sebelum kejadian berlaku selain turut berhalusinasi melalui suara ghaib didengarnya yang mengarahkan supaya melakukan sesuatu,” katanya kepada mahkamah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin.
Kata Dr Badi’ah, pemeriksaan pihaknya mendapati tertuduh tidak berpura-pura mengalami sakit mental kerana gejala ditunjukkannya sepanjang berada di wad hospital tidak konsisten.
“Tertuduh menunjukkan gejala sakit jiwa sejak 2007 kerana sering bercakap seorang, bertukar tempat kerja dan menangis bersendirian.
“Tiada gejala keganasan ditunjukkan tertuduh yang turut tidak mempunyai masalah keadaan persekitarannya dan jiran,” katanya. Rasidi sebelum ini diarahkan Mahkamah Tinggi menjalani pemeriksaan mental dua bulan di Hospital Permai sejak 23 Mac lalu selepas mengaku bersalah membunuh empat ahli keluarganya.
Dia yang juga seorang penganggur sebelum ini mengaku bersalah melakukan pembunuhan dan mendakwa perbuatan itu dilakukan atas arahan dari langit.
Mengikut pertuduhan, Rasidi didakwa membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuknya, Atan Daud, 87, dan neneknya, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 pagi dan 11 pagi, 5 Januari lalu.
Dia turut dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119 di kampung berkenaan pada tarikh dan waktu sama.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.
Berikut antara keterangan Dr Badi’ah kepada mahkamah ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin dan peguam, Hanif Hassan.
Hanif: Apakah akan jadi dengan gejala ditunjukkan tertuduh itu?
Dr Badi’ah: Sekiranya ubat tidak diberikan, gejala itu akan makin bertambah. Tertuduh diberikan ubat anti psikotik untuk merawat sakit jiwa dihidapinya.
Hanif: Apakah hasilnya?
Dr Badi’ah: Selepas dua bulan, gejala berkenaan dilihat semakin hilang.
Hanif: Apakah kamu pasti dengan ubat-ubatan itu?
Dr Badi’ah: Ya. Tertuduh perlu meneruskan pengambilan ubat itu bagi mengelak ia berterusan.
Hanif: Apakah hasil keseluruhan hospital dengan pendakwaan?
Dr Badi’ah: Ketika kejadian, tertuduh tidak siuman dan tidak tahu perbuatannya salah di sisi undang-undang.
Hanif: Adakah laporan penuh perubatan tertuduh dilakukan?
Dr Badi’ah: Ada. Laporan itu dibuat 17 Mei 2010.
Ahmad Nasfy menetapkan tarikh menjatuhkan hukuman, 7 September depan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hidapskizofrenia/Article
No comments:
Post a Comment