Friday, September 3, 2010

Kelar leher

Oleh Suraya Roslan

2010/09/03

AMPANG: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak mengelar leher dan tangannya di sebuah kedai makan di Jalan Watan 8, di sini, selepas marah ditegur isterinya agar pergi ke hospital mental untuk mendapatkan rawatan, petang kelmarin.

Mangsa yang berusia 40-an itu kini dirawat di Hospital Ampang kerana mengalami kecederaan di lehernya, perut dan tangan akibat kejadian itu.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu selepas lelaki kurang siuman itu tidak dapat menerima nasihat isterinya agar ke hospital mental bagi membuat rawatan susulan.


Malah, lelaki itu naik angin apabila pekerja Indonesia kedai makan itu turut menegurnya agar menerima nasihat isterinya itu. “Pertengkaran antara mereka terjadi apabila lelaki yang tidak suka ditegur pekerja itu mengamuk dengan mengambil pisau dan dua bilah parang di dapur sebelum menghiris lehernya sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Ahli keluarga dan pelanggan kedai makan yang cuba mengawal keadaan, kemudian terpaksa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan apabila melihat suspek mula mengacukan parang ke arah orang ramai. “Tindakan mengejutkan lelaki berkenaan yang mengkelar leher dan tangan menggunakan pisau dan dua parang itu menakutkan orang ramai sebelum mereka menghubungi polis,” katanya.


Abdul Jalil berkata, polis terpaksa memujuk lelaki terbabit selama dua jam agar menyerah diri.


“Kira-kira jam 7 petang, polis berjaya memujuknya untuk menyerah diri selepas lelaki itu melihat dirinya berlumuran darah,” katanya.


Bagaimanapun, ketika anggota polis cuba merapatinya, lelaki itu bertindak mengkelar perut, tangan dan dan lehernya hingga orang ramai panik kerana bimbangkan keselamatan dirinya.


“Anggota saya cuba memujuknya supaya bertenang dan meletakkan parang itu, namun dia enggan dan terus berdegil. Nasib baik isteri lelaki itu berjaya memujuknya untuk dihantar ke hospital,” katanya.


Menurutnya, siasatan awal, lelaki berkenaan mempunyai rekod pesakit mental di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kelarleher1/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...