Monday, September 20, 2010

Demam tiga hari lepas lahir bawa derita berpanjangan

2010/09/20

MERSING: Berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, tetapi seorang warga emas, Tiasa Husin, 71, tetap tabah menjaga anaknya yang orang kurang upaya (OKU) ketika meniti usia senja.

Sejak dilahirkan, Nazariah Ahmad, 32, tidak pernah merasai nikmat keluar bersama rakan, bersekolah dan pelbagai lagi kerana kecacatannya akibat demam panas selepas tiga hari dilahirkan menyebabkan Sue, iaitu panggilannya di rumah tidak boleh bercakap, berjalan dan mengurus diri.

Menurut Tiasa, dia menerima keadaan anaknya itu sebagai ketentuan Ilahi dan tetap memberi sepenuh kasih sayang.


“Sue tidak banyak karenah dan seolah-olah faham kesukaran menjaganya, malah dia tidak sukar dikawal,” katanya yang tinggal di Kampung Tenglu Laut di sini.


Menurut Tiasa, Sue perlu diangkat untuk dimandikan sekurang-kurangnya dua kali sehari kerana dia tidak berdaya bangun dan berjalan ke bilik air.


Pada masa sama, Sue perlu meminum susu tambahan berharga RM60 setin, tetapi akibat kemiskinan, dia gagal melakukannya.


Tiasa berkata, masalah terkini Sue adalah sering sembelit ketika membuang air besar mungkin akibat kekurangan zat tambahan dan terpaksa menggunakan pam.


“Saya membesarkan Sue seorang diri selepas suami meninggal dunia akibat sakit tua 20 tahun lalu dan bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan sejak 10 tahun lalu,” katanya.


Sebagai ibu, Tiasa agak bimbang dengan masa depan Sue kerana selain mereka tidak mempunyai saudara-mara, dia bimbang apa akan berlaku kepada anaknya itu jika dia sudah tiada.


Selain diabetes, Tiasa turut menghidap darah tinggi, malah sering mendapatkan rawatan bulanan di klinik.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Demamtigaharilepaslahirbawaderitaberpanjangan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...