Wednesday, September 29, 2010

Hutang RM1.6 juta

Oleh Suraya Roslan

2010/09/29

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori terkejut dimaklumkan berhutang kad kredit dan pinjaman peribadi bernilai RM1.6 juta walaupun tidak pernah membuat sebarang permohonan pinjaman dari mana-mana bank sebelum ini.

Pemandu lori terbabit, Lee Seik Kuang, 51, didakwa membuat 32 pinjaman bagi kad kredit, pinjaman peribadi dan lima kereta iaitu Porsche, BMW X5, Volvo S 80, Honda Accord dan Perodua Myvi tanpa pengetahuannya.


“Akhir bulan lalu, saya menerima panggilan dari sebuah bank di ibu kota mengatakan sebuah kereta jenama BMW X5 didaftar atas nama saya belum dibayar ansurannya. Saya terkejut kerana tidak pernah membuat permohonan membeli kereta mewah itu,” katanya.

Katanya, dia mengesyaki namanya digunakan rakannya yang pernah menjadi rakan kongsi berniaga dalam industri buah-buahan.


Lee berkata, dia dipelawa seorang rakannya yang dikenali sebagai Ah Hock menjadi rakan kongsi dan dijanjikan menjadi pengarah urusan syarikat buah-buahan yang bakal didaftarkan.


“Ah Hock pernah meminta saya menandatangani beberapa dokumen dan pada masa sama saya diminta menyerahkan kad pengenalannya untuk dibuat salinan,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai anggota sindiket yang mengambil kesempatan menggunakan namanya membuat pelbagai pinjaman bank antaranya kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi daripada beberapa bank.


“Hinggalah 20 September lalu saya sedar apabila menerima panggilan bank memaklumkan saya lambat membayar ansuran bulanan kereta. Saya terkejut mengetahui perkara itu kerana saya sendiri tidak memiliki kenderaan dan hanya bergantung pada lori majikan.


“Selepas menyemak di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), saya mendapati empat kereta antaranya Honda Accord, BMW X5, MYVI 1.3, Volvo S.80 dan Porsche Cayenne didaftarkan atas nama saya,”
katanya.


Selain itu, kad pengenalan Lee turut digunakan untuk permohonan kad kredit dan pinjaman peribadi.


“Apa yang menghairankan, bagaimana semua bank boleh meluluskan 32 pinjaman itu sedangkan saya hanya mempunyai pendapatan bulanan RM2,500. Malah, kad kredit itu juga digunakan sehingga disekat kerana melebihi had,” katanya.


Lee turut membuat laporan polis di Balai Polis Setapak 21 September lalu sebelum ke Cheras bertemu Ah Hock.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam (MCA), Datuk Michael Chong berkata, kes ini perlu disiasat Bank Negara serta polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/HutangRM1_6juta/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...