Wednesday, September 29, 2010

Peguam tak tahu bila pelanggan didakwa

2010/09/29

KUALA LUMPUR: Peguam Ravi Nekoo (gambar) yang mewakili peguam adik-beradik yang ditahan berhubung pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain mendakwa tidak tahu bila anak guamnya itu serta enam lagi suspek didakwa.

“Perintah tahanan reman mereka berakhir Sabtu ini. Jadi saya rasa mereka mungkin didakwa Jumaat atau polis mungkin memutuskan memohon tempoh tahanan dilanjutkan kepada majistret,” katanya.

Menurutnya, dia akan menulis kepada pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner Omar Mammah bagi membolehkan pihaknya mempunyai akses kepada anak guamnya berusia 41 dan 38 tahun itu.


“Setakat ini, hanya sekali polis memberikan akses kepada kami dan isteri suspek bertemu mereka. Bagaimanapun, kami mahu bertemu dengan mereka tanpa kehadiran pegawai polis,” katanya.


Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, peruntukan Seksyen 28A(5) Kanun Prosedur Jenayah membenarkan peguam mempunyai akses kepada pelanggannya dalam penglihatan pegawai polis, tapi bukan pendengaran.


“Dalam kata lain, mereka (polis) boleh menyaksikan perbualan kami, namun mereka tidak boleh mengikutinya. Kami perlukan privasi sepenuhnya dalam perkara ini dinafikan sejak kunjungan pertama lagi,” katanya.


Beliau berkata, polis mengguna pakai Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan peguam mungkin mengganggu bukti atau mereka bimbang suspek melarikan diri.


“Mereka mempunyai lebih daripada 14 hari mengumpul bukti daripada suspek, maka kini berikan akses untuk kami bertemu dengan pelanggan kami,” katanya yang meminta polis membenarkan enam lagi suspek dalam kes itu diberikan peluang bertemu peguam mereka.


Ravi berkata, pada masa ini, hanya beliau dan isterinya, Pushpa Ratnam berada dalam pasukan pembelaan bagi kes itu, manakala seorang lagi peguam, D P Vijandran belum memutuskan sama ada menyertai mereka atau tidak.


Sebelum ini, peguam terbabit membuat laporan polis mendakwa anak guamnya didera mental dan fizikal oleh anggota polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peguamtaktahubilapelanggandidakwa/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...