Wednesday, September 29, 2010

Lelaki dihukum mati

Oleh Mohamad Hussin

2010/09/29

ALOR SETAR: “Saya marah, panik dan terkejut dengan si mati kerana dia cuba meliwat saya, lalu mengambil pisau dan menikamnya,” kata Ismawi Ishak, 25, dalam keterangan membela diri yang dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi di sini semalam, sebelum menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas didapati bersalah membunuh seorang model sambilan, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani A Rahim membuat keputusan itu terhadap tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Mengikut pertuduhan, Ismawi dituduh membunuh Mohamad Azhary Mohamed Osman, 26, di sebuah rumah di Jalan Anggerik, Bandar Amanjaya, Sungai Petani pada 4 Mei 2004 antara jam 12.01 tengah malam hingga 7.15 pagi.


Dalam keterangan membela diri, tertuduh mendakwa menikam si mati akibat marah, panik dan terkejut kerana mangsa cuba meliwatnya ketika sedang tidur pada malam kejadian di rumah berkenaan.


Sementara itu, dalam penghakimannya Zamani berkata, ketika memberi keterangan membela diri,
tertuduh gagal membuktikan berlaku kemarahan yang melampau atau cubaan untuk mempertahankan diri.


“Tertuduh mendakwa pada malam kejadian dia tidur di rumah itu sebelum mendapati Azhary memegang perutnya dan merapatkan badan kepadanya hingga dia dapat merasakan ketegangan pada kemaluan mangsa. “Mangsa kemudian melucutkan seluar yang dipakai Ismawi hingga menampakkan bahagian buntutnya menyebabkan tertuduh panik sebelum mengambil sebilah pisau Rambo dan berlaku pergelutan. Tertuduh mendakwa dia tidak sedar apa yang berlaku ketika itu.


“Laporan bedah siasat mendapati terdapat 27 kesan kecederaan pada badan si mati termasuk dua kesan tikaman pisau Rambo pada dada mangsa,”
katanya.


Zamani berkata, tertuduh juga
mendakwa tidak menyedari berapa kali dia menikam mangsa dan terus ke tandas untuk membasuh tangan dan mengambil beg kecil bagi meletakkan dompetnya.


“Tertuduh kemudian keluar dengan memandu kereta Proton Satria kepunyaan si mati untuk berjumpa rakannya di Kepala Batas sebelum kembali semula ke Sungai Petani,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini.


Ismawi yang berseluar hitam dan berkemeja-T putih menundukkan muka selepas hakim menjatuhkan hukuman berkenaan.

Tertuduh diwakili peguam C P Ang manakala pendakwaan oleh Ketua Unit Pendakwaan. Datuk Razali Che Ani.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakidihukummati/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...