Thursday, October 7, 2010

Buruh diarah bela diri

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/10/07

SHAH ALAM: Seorang buruh diarah membela diri atas tuduhan membunuh anak lelakinya berusia dua tahun, yang rangka mayatnya ditemui nelayan, dalam beg pakaian di perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Sembilan, Teluk Intan, Perak, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu terhadap M Murthy selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.


Murthy, 32, didakwa membunuh anaknya, Ruthren, dalam sebuah rumah di Lot 1848, Jalan Sungai Pinang, di sini, pada jam 4.15 petang, 20 Januari 2007.


Bagi pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, mangsa, anak keenam daripada tujuh beradik dilaporkan ditendang di kepala selepas bapanya dikatakan tidak tahan mendengar tangisannya.


Anak kedua tertuduh, M Thinesh, 11, dalam keterangannya berkata, dia melihat bapanya menampar dan menendang mangsa sehingga kanak-kanak itu terperosok ke dalam longkang dalam bilik air rumah mereka.


Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, dia melihat adiknya cuba bangun, namun ditendang sebelum dipijak oleh bapanya.


Ketika itu katanya, dia melihat kepala mangsa sudah lembik dan keadaan adiknya itu seperti sudah tidak sedarkan diri.


Ibu mangsa, K C Selvi, pula memberitahu mahkamah dia melihat anaknya meraung akibat tangan sudah kejang dengan muka kebiru-biruan selepas kanak-kanak itu dipukul dalam bilik air rumah mereka.


Menurut saksi pendakwaan ke-13 itu, dia cuba menghalang perbuatan suaminya itu, namun hanya mengundang padah apabila lelaki berkenaan mengikat dan mengurungnya di satu bilik rumah itu.


Tertuduh kemudian mengambil beg baju dan menyumbat kanak-kanak malang itu ke dalamnya, sebelum membuangnya ke dalam sebuah longkang berhampiran Pelabuhan Klang.

Ibu mangsa kemudian terpaksa berbohong mengenai kematian anaknya kerana mendakwa tertuduh mengancam untuk membunuh anak mereka yang lain, jika perkara itu terbongkar.


Mayat kanak-kanak malang itu yang sudah hampir terurai itu ditemui nelayan berhampiran Pulau Sembilan, Teluk Intan, Perak, beberapa bulan kemudian.


Laporan bedah siasat mendapati mayat mangsa yang berpakaian baju kanak-kanak itu sudah tidak memiliki otak dengan tulang hidung kanannya patah.


Bagaimanapun sebab kematian tidak dapat dipastikan, namun mungkin disebabkan oleh kepatahan tulang di pinggang dan pinggul berdasarkan keadaan mayat dalam beg.

Sepanjang perbicaraan pada kes peringkat pendakwaan, seramai 20 saksi dipanggil memberi keterangan.


Mohtarudin kmenetapkan 25 Oktober depan sebagai tarikh untuk tertuduh membela diri.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buruhdiarahbeladiri/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...