Thursday, October 7, 2010

Eksekutif rugi RM18,000 ditipu sindiket kad kredit

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Seorang wanita diperdaya satu sindiket penipuan kad kredit yang ‘mencuri’ wangnya secara senyap membabitkan kerugian RM18,000 selepas mangsa diarah menukar nombor PIN semua empat kad kredit miliknya.

Mangsa, Lim Jit Ngoh, 47, mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Chan dari sebuah institusi kewangan yang memaklumkan dia supaya menambah jumlah had kredit mangsa kepada lebih RM10,000.


“Saya menerima panggilan berkenaan ketika sedang membeli-belah di sebuah pasar raya di ibu kota dan terkejut sejurus dimaklumkan lelaki terbabit kad kredit saya sudah mencapai had ditetapkan. “Dia memberitahu kad kredit saya itu dimohon individu lain di Sarawak yang menggunakan nama saya. Malah, kad terbabit turut dibelanjakan di sebuah kasino di Singapura,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam, Wisma MCA Petaling Jaya Selatan, di sini, semalam.


Menurutnya, terkejut dengan maklumat yang dikemukakan lelaki berkenaan kononnya kad kreditnya dipalsukan, dia kemudian mengikut saja arahan diberikan lelaki terbabit.


Difahamkan, dia yang bekerja sebagai Eksekutif Akauntan di sebuah syarikat di Puchong, di sini, amat panik dengan berita yang diterimanya itu kerana menganggap dirinya sudah menjadi mangsa sindiket pemalsuan kad kredit.


“Lelaki itu menyuruh saya menghubungi pusat pengurusan kad palsu Bank Negara menggunakan nombor talian yang diberikan. Malah, dia turut mendesak saya menyelesaikan masalah itu pada hari kejadian iaitu 16 September lalu.


“Saya terus menghubungi ‘Bank Negara’ dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Sam. Lelaki itu memberitahu bahawa dia akan mengambil tindakan berdasarkan aduan saya itu dan meminta saya menghubungi talian aduan serta memberikan nombor untuk dihubungi, katanya.


Lim berkata, tanpa mengesyaki apa-apa, dia memberikan semua maklumat sulit berkaitan kad kreditnya kepada lelaki terbabit kononnya bertujuan dimasukkan ke dalam sistem pengawalan penipuan.


Menurutnya, beberapa minit kemudian dia menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya Irene dari Bahagian Pengurusan Kad Palsu Bank Negara.


“Wanita itu memberitahu maklumat kad kredit saya sudah bocor dan menyuruh saya mengikut arahannya untuk membuat kad kredit baru.


“Bagaimanapun, sebelum itu, dia menyuruh saya menukar nombor PIN bagi mengelakkan wang di dalam akaun lama hilang. Saya kemudian pergi ke mesin ATM berhampiran untuk menukar nombor PIN,” katanya.

Beliau berkata, dengan arahan yang diberikan wanita itu, keempat-empat kad kredit miliknya ditukarkan nombor PIN baru mengikut nombor yang diberikan. Malangnya, tiga hari selepas kejadian itu, mangsa mahu memeriksa kad kreditnya itu dan terkejut sejurus mendapati wang semua kad kreditnya sudah dipindahkan, ekoran kejadian itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Teeng Book berkata, pihaknya sudah menerima pelbagai kes berhubung kejadian penipuan licik seperti mangsa dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sindiket.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/EksekutifrugiRM18_000ditipusindiketkadkredit/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...