BESUT: Selepas lima tahun mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Terengganu, ketua ajaran sesat, Arffin Mohamad atau Ayah Pin, 70, dikesan aktif menghidupkan kembali ‘Kerajaan Langit’ pimpinannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut di sini.
Meskipun kegiatannya tidak sehebat dulu, namun Ayah Pin dilihat cuba mengumpul sebanyak mungkin pengikut daripada pelbagai lapisan yang sanggup datang ratusan kilometer semata-mata mahu mendengar ‘tazkirah’ di sebuah warung dalam perkampungan itu.
Bagaimanapun, bukan mudah memasuki kampung terbabit kerana persekitarannya dikawal rapi pengikut tegar mendiami perkampungan berkenaan selain menjadi mata dan telinga kepada pemimpin mereka sekiranya terhidu kelibat orang luar yang mencurigakan.
Kegiatan menghidupkan kembali ajaran sesat itu dihidu wartawan akhbar ini selepas bertemu saudara terdekat Ayah Pin yang juga pengikut ‘Kerajaan Langit’ di perkampungan berkenaan, Isnin lalu.
Dalam pertemuan itu, lebih 10 pengikut ajaran sesat dilihat berada di sebuah warung di dalam perkampungan itu untuk mendengar ‘tazkirah’ yang disampaikan pemimpin terbabit selama tiga jam bermula dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Sepanjang pemerhatian, didapati keadaan Ayah Pin tidak secergas sebelum ini kerana menghidap diabetes dan dia yang berpakaian singlet putih serta berseluar pendek memberikan tazkirah sambil duduk serta menghisap rokok di bangku dengan menghadap ke arah pengikut setia.
Ketika memasuki warung terbabit, setiap pengikut dikehendaki ‘menyembah diri’ sebanyak tiga kali dan kali terakhir perlu berlutut di hadapan Ayah Pin sambil mencium tangan sebagai simbolik menzahirkan taat setia kepada pemimpin mereka itu.
Difahamkan, pengikutnya yang hadir itu ada antaranya datang dari Selangor, Pahang dan Johor dengan menaiki pelbagai kenderaan mewah termasuk Toyota Wish dan Mitsubishi Grandis.
Individu yang menghadiri majlis tazkirah itu dikatakan berjawatan tinggi termasuk peguam, pegawai bank, guru serta penduduk Orang Asli dari Rompin, Pahang.
Dalam sesi pertemuan itu, Ayah Pin turut mengasingkan pengikutnya berdasarkan jantina dengan pengikut lelaki duduk di hadapannya, manakala perempuan pula berada di bahagian dapur warung berkenaan sambil mendengar tazkirah.
Ketika memberikan ‘tazkirah’, Ayah Pin turut menceritakan pengalamannya naik ke langit hingga arasy ketujuh untuk meninjau keadaan syurga dan neraka ketika dia kononnya berada dalam alam ghaib sebelum ini.
Ayah Pin mendakwa, ketika dalam perjalanan, dia turut menyertai sesi mesyuarat dengan malaikat, jin dan iblis sebelum mereka berpecah dengan jin dan iblis untuk kembali semula ke bumi, manakala malaikat kekal di langit.
“Saya dilantik wakil Kerajaan Langit bagi memantau keadaan di atas dunia supaya berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang sengketa sesama sendiri, baik yang beragama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.
“Semua agama di muka bumi ini adalah sama. Semua pengikut hendaklah sentiasa beramal ke arah kebaikan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pulangkumpulpengikut/Article
No comments:
Post a Comment