Thursday, October 14, 2010

Shafnie Dakwa AC Mizal Bangga Dengan Kekayaan

Rabu Oktober 13, 2010

KAJANG: Bekas isteri AC Mizal mendakwa pelakon dan pengacara tersebut berbangga dengan publisiti yang diterima berhubung kekayaannya yang tersiar di media.

Shafnie Zainudin, 35, berkata dia tidak ada mendengar atau mengetahui AC Mizal mengeluarkan kenyataan marah atau mahu mengambil tindakan undang-undang iaitu saman terhadap berita mengenai kekayaan tersebut.

“Tidak pernah, malah dia berbangga. Saya dapat tahu ada berita mengenai dia dikatakan antara artis terkaya di Malaysia tersiar baru-baru ini,” kata Shafne pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Selasa.

Selain itu, Shafnie juga memberitahu bahawa bekas pengacara Konsert Akademi Fantasia itu juga tidak pernah membeli pakaian bagi dua anak mereka sempena Hari Raya Aidilfitri sejak empat tahun lalu.

Tambahnya lagi, kali terakhir AC Mizal menyediakan kelengkapan itu adalah pada tahun 2005.

“Sejak itu, semua perbelanjaan termasuk persekolahan ditanggung oleh saya,” katanya.

Shafnie yang disoal semula oleh peguam syarienya, Mohd Ridhwan Husin juga memberitahu, AC Mizal tidak pernah melihat anak di sekolah, mengambil tahu keputusan peperiksaan mahupun terlibat dalam Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah.

Tambahnya lagi, mereka kini tinggal bersama keluarganya di Bangi, dekat sini memandangkan AC Mizal tidak ada menyediakan rumah sebagai tempat tinggal untuk anak.

“Terus terang, saya tidak mampu lagi untuk membayar sewa rumah sebelum ini. Oleh itu, selepas berbincang dengan ibu, saya bersetuju untuk pindah masuk dengan mereka termasuk menukar sekolah anak saya,” katanya.

Mengenai tuntutannya terhadap hiburan, Shafnie berkata, perkara tersebut yang meliputi barang permainan dan menonton wayang merupakan keperluan pada zaman sekarang, meskipun anaknya tidak pernah merungut.

“Anak sering ceritakan kepada saya apa yang ibu bapa kawan-kawan mereka buat. Apa yang anak saya mahu, sebagai seorang ibu, saya akan cuba tunaikan asalkan mengikut kemampuan dan munasabah,” tambahnya.

Shafnie juga dilihat tidak dapat menahan kesedihan apabila disoal sama ada anaknya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam makanan.

“Anak saya seperti biasa. Mereka suka makan ayam, lauk dan makanan biasa selain daripada makanan biasa. Saya bekerja, jadi apabila hujung minggu saya memasak,” katanya yang telah ditenangkan oleh Mohd Ridhwan.

Justeru itu, dia memohon permohonannya supaya nafkah dua anak mereka yang berjumlah RM300 sebulan dinaikkan menjadi RM3,770 dapat dipertimbangkan oleh mahkamah kerana ia adalah untuk anak dan tidak membawa sebarang faedah kepada dirinya.

Menurutnya, jumlah RM300 dipersetujui pada tahun 2004, iaitu tiga tahun selepas mereka bercerai.

“Pada tahun itu, saya reda berikutan AC Mizal tidak mempunyai kemampuan, malah ibu bapanya juga hadir ke mahkamah mengatakan anak mereka tidak mampu,” tambahnya.

Pada prosiding itu, AC Mizal, 39, diwakili peguam syarie Siti Aishah Din.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bersambung 11 Januari 2011.

Pasanganitu berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum sah bercerai pada 17 Oktober 2001.

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/10/13/mstar_mahkamah/20101012223036&sec=mstar_mahkamah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...