Saturday, October 30, 2010

Terharu terima sumbangan

Oleh Zulfa Mohamad

BUKIT MERTAJAM: “Alhamdulillah, ada juga pihak tampil beri sumbangan. Sebelum ini, nak makan pun kadang-kadang sangkut tapi hari ini (semalam), banyak barang makanan diberi,” kata Rosli Hashim, 43.

Rosli dari Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh di sini, yang menderita penyakit mudah penat bukan saja dihimpit kemiskinan, malah terpaksa memikirkan nasib isteri, Sharimah Othman, 41, yang menghidap tiroid dan ketumbuhan dalam rahim.


Selain itu, seorang daripada anak perempuannya, Siti Zulaikha, 5, menderita penyakit saraf.


Rosli berkata, keluarganya kini bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan selain ihsan saudara-mara serta jiran, manakala bantuan Pusat Urus Zakat diterima setahun sekali.

“Wang bantuan memang tidak cukup untuk membeli barang keperluan apatah lagi menampung kos perubatan isteri dan anak.


“Kami bersyukur sangat sebab Harian Metro sudi menghulurkan sumbangan kerana sudah lama menjamah nasi berlauk ikan bilis,” katanya selepas menerima sumbangan daripada Harian Metro dan Islamic Relief Malaysia (IRM), semalam.

Sumbangan disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar. Turut sama, Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat; Pengurus Kanan Komunikasi Korporat dan Pengurusan Acara NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi dan Ketua Biro Harian Metro Wilayah Utara, Badrila Jamlus. IRM memberikan bantuan pek barangan makanan harian kepada keluarga terbabit dan kerjasama dengan Harian Metro dijalankan sejak program Titipan Kasih dimulakan Januari lalu.


Sebelum ini, program itu dijalankan di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sarawak dan Johor dengan pemberian sumbangan bagi sebuah keluarga yang hidup susah, manakala program di Perak dan Melaka, sumbangan diberikan kepada anak yatim, ibu tunggal dan keluarga miskin.


Sumbangan itu susulan kisah kesusahan keluarga Rosli disiarkan Harian Metro semalam yang bergantung harap pada anak-anaknya, jiran serta saudara-mara untuk meneruskan kehidupan. Berikutan kesempitan hidup, dua daripada lapan anak Rosli, Mohd Norhisham, 16, dan Nurshamiza, 19, berhenti sekolah untuk membantu keluarga dengan bekerja di kedai menjual burung.


Nurlina, 18, dan Nurshahira, 14, pula mengambil upah mengupas ikan bilis dengan pendapatan RM8 sekampit. Dua anak Rosli masih bersekolah iaitu Nurul Fatin, 12, dan Mohd Izwan, 10, manakala yang bongsu, Nurmaisarah, 3.


Sharimah pula berkata, dia perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Seberang Jaya tetapi tarikhnya belum ditetapkan selain membelanjakan lebih RM1,000 sebulan untuk membeli barang keperluan serta rawatan.


“Saya terpaksa menaiki bas setiap kali ke hospital kerana tiada kenderaan selain mengharapkan bantuan saudara mara,” katanya.


Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh memasukkan wang ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Sharimah Othman melalui nombor akaun, 07103-29-00023339-7.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terharuterimasumbangan/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...