Friday, November 12, 2010

Pengalaman Sukarelawan Rawat Mangsa Banjir Di Pakistan

Isnin November 8, 2010

KEGHAIRAHAN untuk melakukan kerja-kerja amal mendorong Dr Leong Kin Fon, 38, menwarkan khidmat secara sukarela untuk membantu mangsa-mangsa banjir besar di Pakistan baru-baru ini.

Beliau yang berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur bertolak ke Peshawar, di sempadan antara Afghanistan dan Pakistan pada awal September lalu untuk melakukan kerja-kerja sukarela selama dua minggu di sana.

Menceritakan pengalamannya, Dr Leong berkata, kawasan yang dikunjunginya dianggap ‘panas’ kerana dilabel sebagai sarang atau ‘universiti’ yang melatih kumpulan militan Taliban atau Al-Qaeda.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Amerika Syarikat dan Jerman yang pergi ke situ tidak berani mendedahkan mereka adalah orang putih. Mercy Malaysia tidak dibenarkan menghantar pasukan sukarelawan secara persendirian. Oleh itu, Mercy terpaksa bergabung dengan 30 NGO lain di bawah naungan Pakistan International Medical Corps untuk menawarkan bantuan,” katanya kepada Mingguan mStar.

Menurut Dr Leong, beliau dan sukarelawan yang lain beroperasi dalam satu pasukan kecil terdiri daripada seorang doktor dari Malaysia, seorang pegawai tempatan dan seorang pegawai logistik dari Mercy yang menguruskan makan dan minum, pada satu-satu masa.

Keadaan di kem perlindungan mangsa banjir di Peshawar, Pakistan

“Memandangkan kami dihantar tiga atau empat minggu selepas banjir besar itu, saya dapati kebanyakan mangsa banjir di Peshawar menghidap penyakit kulit.

Oleh itu, pasukan kami banyak memberi tumpuan untuk merawat mangsa-mangsa yang menghidap sakit kulit,” ujar Dr Leong yang telah bertugas sebagai doktor sejak 1998.

Doktor yang masih bujang itu berkata, beliau mempreskripsikan ubat kulit kepada mereka yang datang mendapatkan rawatan.

Pun begitu, memandangkan bilangan pesakit terlampau ramai berbanding dengan pasukan perubatan yang sedikit, tambahan pula tempoh waktu berada di kawasan itu agak singkat, tidak semua pesakit dapat dirawat.

Semua kekangan ini menyebabkan ramai pesakit kanak-kanak tidak dapat diberi perhatian berbanding pesakit dewasa.

Bagaimanapun, untuk tidak menghampakan kanak-kanak yang penat menunggu tetapi tidak sempat diberi rawatan, Dr Leong turut membawa bekalan pelekat-pelekat kartun untuk diedarkan kepada mereka, sekurang-kurangnya mereka berasa terhibur.

Kanak-kanak mangsa banjir di Pakistan menanti untuk mendapatkan makanan mereka

“Walaupun pelekat kartun ini dianggap perkara biasa bagi kebanyakan kanak-kanak di negara ini dan lain-lain negara yang aman damai, namun bagi kanak-kanak di Peshawar ini ia merupakan hadiah yang sangat dihargai,” jelas Dr Leong yang tahu mangsa kanak-kanak di negara yang ditimpa bencana alam atau peperangan amat gemarkan pelekat sedemikian berdasarkan pengamatannya semasa menyumbangkan khidmat perubatan.

Sebelum ini pun, Dr Leong pernah terlibat dalam kerja-kerja amal di negeri-negeri pantai timur.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai doktor selama sembilan tahun di Sarawak seperti di Bario dan Sungai RejangSejarah penglibatannya dalam kerja-kerja sukarelawan di luar negara bermula pada 2003 apabila beliau menawarkan bantuan di rumah anak yatim Kristian di Nepal.

Pada 2005, Dr Leong menyertai rombongan Mercy ke Pakistan selama tiga minggu untuk membantu mangsa gempa bumi yang melanda wilayah Bagh di sempadan antara Pakistan dan Kashmir.

Dr Leong menghabiskan kira-kira tiga minggu di Pakistan yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan ketika itu.

Beliau mengakui amat tersentuh hati melihat ketabahan yang ditunjukkan oleh mangsa-mangsa terbabit.

“Salah satu sebab saya pergi ke situ adalah untuk memastikan mereka gembira, tetapi mereka sebenarnya lebih tabah daripada apa yang saya fikirkan. Telahan awal saya ternyata meleset. Ingatkan mereka akan menangis, tetapi mereka, mahu pun kanak-kanak adalah lebih tabah menghadapi dugaan hidup dan bersemangat tinggi,” katanya yang bersyukur kerana mempunyai bos yang memahami dan menyokong usaha kesukarelawanannya.

Mengenang kembali hari pertama di Bagh, Dr Leong berkata, beliau berkunjung ke sebuah khemah yang hanya dilengkapi beberapa perabot kayu.

Beliau sangat tersentuh hati apabila seorang kanak-kanak menghulurkan sekeping biskut kepadanya dengan senyuman manis walaupun di pinggan kanak-kanak itu cuma berisi beberapa keping biskut.

Kemesraan mereka yang kurang bernasib baik meninggalkan kesan yang mendalam di jiwanya. Dr Leong tidak kisah berdepan dengan ancaman yang mendatang kerana ajal maut ditentukan oleh Tuhan.

Kanak-kanak mangsa banjir di Pakistan mengalami masalah kulit ekoran terdedah pada air yang kotor dan tercemar.

Dr Leong berkongsi pengalaman menceritakan perihal beliau terperangkap di dalam sebuah bangunan kerajaan bersama seorang wartawan dari Belanda dan seorang ahli farmasi dari Jerman ekoran perintah berkurung yang dikuatkuasakan oleh pihak tentera.

Ketika ditanya oleh wartawan Belanda itu sama ada beliau takut, Dr Leong berkata beliau tidak menyimpan rasa takut dan kalau ada pun, beliau akan berhati-hati.

“Anda tidak memikirkan perkara negatif apabila anda melakukan bungee jumping, sky-diving. Anda boleh mempelajari banyak perkara apabila melakukan kerja-kerja yang mengghairahkan kita,” kata doktor yang berasal dari Ipoh dan merupakan anak kelima daripada enam adik-beradik.

Hakikat ini menjelaskan kenapa Dr Leong masih tidak putus-putus menyumbangkan segala kudratnya untuk membantu orang lain di mana-mana sahaja.

http://mstar.com.my/mingguan/cerita.asp?file=/2010/11/8/mstar_mingguan/20101108114353&sec=mstar_mingguan



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...