LAUNGAN azan menandakan masuknya waktu solat Asar berkumandang di Darul Ukhuwah. Hati amat tersentuh apabila pengurus rumah perlindungan itu memberitahu lontaran azan merdu itu keluar dari mulut penghuni rumah itu sendiri. Siapa sangka!
Sebelum menantikan masuknya waktu Asar, penulis sempat minum petang bersama-sama mereka. Malu dan tersipu-sipu mereka cuma seketika sahaja. Walaupun tidak pernah bersua, mereka tetap mesra, menyambut baik kehadiran insan yang dinamakan tetamu.
Nyata, kesemua 15 penghuni yang ada menyimpan pelbagai kisah dan cerita. Ada yang berkongsi bersama penulis dan ada juga yang sebaliknya, segan barangkali.
Yang pasti, cerita Pak Ya, penghuni berusia 50 tahun ini agak tragis. Pak Ya, atau nama sebenarnya Yahya Hasan merupakan salah seorang daripada penghuni yang terpaksa menggunakan ‘empat kaki’ untuk bergerak.
Waktu makannya bertemankan tongkat, tongkat jugalah menjadi teman tidurnya. Paling mengagumkan, dengan tongkat itu jugalah Pak Ya menunaikan solat.
Sebelum ke Darul Ukhuwah, dia pernah menumpang kasih di gereja selama dua tahun kerana hilang tempat berteduh gara-gara dia menghidap HIV.
“Masa itu saya tiada pilihan. Saya tak mahu mati di tepi jalan dan merempat. Hanya gereja yang terima orang macam saya,” Pak Ya membuka cerita.
Sebagai penghuni paling lama di Darul Ukhuwah, dia bersyukur kerana akhirnya ada juga saudara seagama yang prihatin terhadap nasib dia dan rakan-rakan bernasib sama.
Pak Ya, bekas penagih dadah dan pernah beberapa kali keluar-masuk Pusat Serenti ini mengakui kehidupannya lebih baik selepas berpindah ke Darul Ukhuwah.
“Di gereja pun bagus, mereka layan macam menatang minyak yang penuh. Tapi di sini hidup saya lebih bermakna sebab aktiviti yang dapat membentuk peribadi mulia. Ada ceramah, solat jemaah dan sebagainya. Penjagaan kesihatan pun tak diabaikan,” katanya.
Menurutnya, dia hidup sebatang kara sejak sekian lama.
“Saya pernah ada isteri tapi dah bercerai. Anak pun ada, tapi mereka tak sanggup nak jaga saya sebab mereka pun belum stabil dan kehidupan sendiri yang perlu dijaga,” katanya, pilu.
Pak Ya terdiam seketika apabila ditanya tentang masa depannya sebelum menjawab: “Kalau boleh saya nak keluar dan bekerja macam orang lain. Tapi saya tak mampu nak buat macam tu,” ujarnya.
Pun begitu, Pak Ya mengakui dirinya semakin pulih, sihat dan bersemangat sejak berada di Darul Ukhuwah.
Malah, dia bertambah gembira kerana anaknya juga sudi beberapa kali menjenguk dirinya di situ walaupun tidak selalu.
Ibu bapa malu
Fara (bukan nama sebenar), 27, merupakan wanita pertama yang mendapatkan perlindungan di Darul Ukhuwah.
Dia yang disahkan menghidap HIV ketika kandungannya berusia tujuh bulan akhirnya disisihkan ibu bapa dan keluarga kerana tidak sanggup menanggung malu.
“Ibu bapa boleh terima kenyataan saya ada HIV. Tapi sampai sekarang mereka tak bagi saya bawa balik anak ini ke kampung sebab malu dengan jiran dan sanak saudara,” katanya.
Selepas melahirkan bayi luar nikah, Fara tiada tempat untuk dituju. Atas saranan pihak hospital, dia bersetuju dibawa ke sebuah pusat penjagaan khusus untuk mereka yang senasib dengannya.
“Saya terkejut bila dihantar ke gereja, tapi saya tiada pilihan. Selepas seminggu di situ, mujur ada orang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) datang dan bawa saya keluar,” katanya.
Cerita Fara, pada mulanya ‘bapa’ kepada anaknya yang berusia 10 bulan itu menunjukkan tanda-tanda untuk bertanggungjawab walaupun tahu dia menghidap HIV. Tetapi sejak kebelakangan ini sikapnya mula berubah.
“Saya tanya dia, sebab apa? Sebab saya sakit ke? Dia jawab tidak dan bagi alasan. Tapi saya tahulah dia nak tinggalkan saya sebab saya sakit. Bukan semua lelaki nak terima orang macam saya sebagai isteri,” katanya sedih.
Mengimbas kisah silamnya, Fara yang berasal dari Pantai Timur pernah bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel di ibu kota.
Setiap malam, dia akan bertukar-tukar pasangan dan melakukan hubungan seks walaupun dengan lelaki yang baru dikenali.Apa yang mahu dilakukannya sekarang ialah membesarkan anaknya itu walau sesusah mana sekali pun.
“Masa mengandung dulu, ada juga perancangan nak gugurkan kandungan. Tapi bila dah selamat lahir, saya rasa tak sanggup kehilangan dia. Ramai yang nak ambil sebagai anak angkat pun saya tak bagi,” katanya.
Fara juga mengaku menyesal terhadap perbuatannya yang lalu dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.
“Penyakit ini adalah balasan kepada perbuatan saya yang lalu. Saya nasihatkan kepada remaja di luar sana supaya berfikir sebelum bertindak,” katanya.
Sakit, tapi mahir menjahit
Zack, 54, melahirkan rasa syukur kerana wujudnya rumah perlindungan seperti ini.
Selepas sembilan bulan terlantar di hospital, dia akhirnya dibawa ke Darul Ukhuwah oleh pengasas rumah ini.
Berbeza dengan penghuni lain, Zack mahir menjahit pakaian dan menerima tempahan. Oleh kerana itu, setiap hari dia menghabiskan masanya menjahit baju kurung, kebaya dan baju Melayu yang ditempah orang ramai.
“Keluarga memang sisihkan saya, isteri pun tak ada. Syukur kerana ada tempat ini, malah pihak pengurusan menghargai bakat dan kemahiran saya.
“Duit upah itu bolehlah dijadikan duit poket dan disumbangkan kepada Darul Ukhuwah,” katanya.
Disahkan menghidap HIV pada 2006, dia tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan dirinya jika dia tidak berada di situ.
Pernah terlibat dengan dadah, dia mengaku sudah banyak berubah berbanding dirinya yang dahulu.
No comments:
Post a Comment