KUALA LUMPUR: Satu sindiket yang mendakwa sebagai Ulama Rohingya dikesan mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit dengan memperdaya pengurusan beberapa masjid dan surau di seluruh negara.
Kegiatan itu dikesan Pertubuhan Hak Asasi Untuk Rohingya (HURAR) selepas menerima maklumat orang ramai khususnya pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit.
Setiausaha Agungnya, Fakaruddin Ali Muddin, berkata sindiket itu menggunakan masjid dan surau sebagai modus operandi untuk meraih simpati menggunakan pelbagai alasan kononnya untuk membantu pelarian Islam Rohingya.
“Sindiket itu bergerak dalam kumpulan terdiri daripada lima hingga 12 orang. Mereka akan ke masjid dan menyertai jemaah di setiap kariah dan mengambil kesempatan itu untuk meminta derma.
“Siasatan mendapati, derma berkenaan tidak disalurkan kepada mereka yang memerlukan sebaliknya digunakan untuk kepentingan peribadi,” katanya ketika ditemui, semalam.
Fakaruddin berkata, anggota sindiket itu akan cuba mendekati imam atau pegawai masjid dan sebaik melihat layanan baik diterima, mereka mula menceritakan kisah sedih kononnya keluarga pelarian di Rohingya amat memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.
“Kebiasaannya, mereka akan berada di masjid dan surau yang dikenal pasti pada waktu Maghrib dan Isyak. Selain itu, mereka akan mengutip derma di masjid setiap solat Jumaat kerana lebih ramai jemaah pada waktu itu,” katanya.
Menurutnya, terpedaya dengan lakonan pengemis itu, ada pengurusan masjid dan surau yang memberikan derma sehingga RM40,000 kepada sindiket terbabit.
Katanya, bagi membuktikan aktiviti mengutip derma itu sah di sisi undang-undang, sindiket terbabit menunjukkan surat kelulusan termasuk yang kononnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan individu berpengaruh.
“Selain itu, mereka menawarkan khidmat pengurusan sumbangan lembu untuk dikorbankan di Arakan, Myanmar, pada Aidiladha ini dengan harga serendah RM800.
“Ada individu yang terpengaruh dan menyumbangkan wang untuk korban dan barangan lain kerana mempercayai kata-kata anggota sindiket pengemis Rohingya terbabit,” katanya.
Fakaruddin berkata, kegiatan mengemis dilakukan berterusan selama beberapa bulan dan didalangi kumpulan sama yang mendakwa diri mereka pendakwah dan kumpulan Ulama Rohingya bagi mengaburi mata masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.
Sementara itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat kebenaran untuk kumpulan pelarian terbabit mengutip derma.
Katanya, setakat ini Jawi hanya memberikan kebenaran melakukan kutipan derma untuk misi nasional dan diluluskan Kabinet.
“Justeru kami menasihatkan orang ramai khususnya imam masjid lebih berhati-hati apabila dikunjungi kumpulan tertentu yang ingin mengutip derma. Orang ramai juga boleh merujuk pejabat zon masing-masing bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/articles/UlamaRohingyaperdayamasjid/Article
3 comments:
salam.. M zubair Afandi ! Setiap dakwaan kena ada bukti!!!! Ulama Rohngya mana? Masjid / Surau mana diperdayakan ? saya pernah baca Harian metro mengatakan Rm40000.00 kutipan dari satu masjid di selangor! ini tak makan akal, jikalau tidak tanya imam masjid-masjid besar seluruh Malaysia, kutipan bantuan bencana alam dulu sampai kadar tersebut tak? : jamalrohang@yahoo.com
imam imam dan pihak pemberi lebih bijak dari..
salam.. saudara Jamal..terima kasih kerana sudi singgah di blog saya ini. Untuk makluman saudara, berita ini saya copy dari Harian Metro. Saya sendiri tidak dapat mempastikan berita ini betul atau salah. Saya cuma copy untuk simpanan dan maklumat untuk diri saya sendiri dan mungkin boleh dikongsi dengan pembaca blog yang lain.
Apa pun terima kasih kerana berkongsi pendapat dan maklumat. Segala pandangan dari pembaca blog amat lah saya alu-alu kan dan diucapkan ribuan terima kasih.
Post a Comment