Monday, December 13, 2010

Anak muda dijangka protes Pakatan Rakyat?

Ahmad Lutfi Othman

Demonstrasi membantah kenaikan melampau tarif air di Selangor baru-baru ini menunjukkan beberapa petanda menarik. Penyertaan proaktif golongan muda untuk turut berarak dan menuntut hak - termasuk daripada kelompok mahasiswa yang secara jelas dilarang terbabit dengan apa jua kegiatan politik dalam dan luar kampus - mencuit perhatian saya. Tanpa kehadiran mereka, kemeriahan perhimpunan mungkin terjejas teruk.

Tidak gentar dengan ugutan dan gertakan, ternyata anak-anak muda ini sedia "bertempur", meredah tembakan gas pemedih mata dan basah dihujani pancutan water cannon. Idealisme mengungguli kebenaran terpasak kukuh dalam jiwa dan minda.

Dan inilah warisan mahasiswa zaman berzaman yang cukup membanggakan; tradisi mencabar dan sedia turun ke gelanggang mempraktikkan ilmu yang dikutip dari bilik kuliah, interaksi meluas dan pembacaan mendalam.


BUKAN SEKADAR SATU PESTA

Berlarian di jalan-jalan raya dikejar FRU bukannya sekadar satu pesta yang menyeronokkan. Ia memerlukan komitmen dan kesedaran. Isu yang mahu diperjuangkan perlu dihadam dan diperhalusi.

Dimensinya pelbagai dan merangkumi pelbagai aspek. Daripada tuntutan proses pilihan raya adil dan bebas, menjangkau desakan pemansuhan akta zalim yang membenarkan penahanan tanpa bicara, bantahan kenaikan harga minyak, juga tanpa melupakan problem dalam kampus seperti isu PTPTN, kemudahan asrama, akta universiti, sudut pidato, partisipasi politik. Sesekali melepaskan amarah di hadapan kedutaan Amerika Syarikat menentang sikap neo-imperialisme kuasa besar itu.

Kali ini bukan sekadar menentang kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus pada tahun 2009, diikuti 25 peratus (2012), 20 peratus (2015), 10 peratus (2018) dan 5 peratus (2021), yang pastinya membebankan rakyat, malah secara umumnya mahu mengembalikan hak air air kepada rakyat, selain membetulkan kesalahan dalam penswastaan industri perkhidmatan air. Desakan turut dibuat agar sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlebih dahulu. Amalan kronisme yang menjadi budaya politik Umno-BN juga ditentang habis-habisan.

Berbanding siri perhimpunan raksasa sebelum ini, juga di lokasi sama, iaitu perkarangan Masjid Negara (juga Dataran Merdeka dan kompleks Sogo) menuju Istana Negara, pembabitan orang muda pada 5 Disember lalu jelas mendominasi suasana.

Biarpun diterajui pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, namun anak-anak muda ini saya yakin bukannya hanya mengikut melulu. Ia didorong atas sikap tanggungjawab yang penuh makna, demi mencapai kebaikan dan manfaat umum. Mereka mendahulukan kepentingan bersama meskipun terpaksa berdepan ancaman dan penguatkuasaan Auku yang mengongkong.


Lebih menarik apabila lima hari kemudiannya, pada Jumaat, 10 Disember, mereka sekali lagi berkumpul atas solidariti semangat kemahasiswaan di hadapan Masjid Putrajaya, menuju Jabatan Perdana Menteri. Medan kali ini lebih "terkepung" dan berisiko. Bagaimanapun ia bukan kali pertama mahasiswa memilih gelanggang Putrajaya.

Sudah beberapa kali anak muda terpelajar ini memprotes secara lantang di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi, antara lain, menuntut sistem pilihan raya kampus yang adil, telus, tidak memihak dan benar-benar bebas daripada pengaruh dan campur tangan Urusetia Hal Ehwal Pelajar.


MENGANGKAT SUARA MASYARAKAT TERTINDAS


Mesejnya tetap sama, mengangkat suara masyarakat tertindas untuk didengari secara lebih jelas oleh elit penguasa. Mahasiswa mahu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Najib Razak kerana membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula, yang diumumkan secara tiba-tiba. Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini.

Mahasiswa pasca Auku juga tidak kurang hebatnya mempamerkan daya juang yang kental, menyelongkar kezaliman, membongkar penganiayaan, membela golongan miskin dan tertindas. Perobohan kawasan setinggan tanpa belas-kasihan, seperti di Kg Berembang, Ampang beberapa tahun lalu menjadi saksi.

Ia mengingatkan beberapa batu tanda sejarah kegemilangan gerakan pelajar terdahulu, misalnya peristiwa Telok Gong dan Tasek Utara. Penglibatan mahasiswa sebagai pemangkin gelombang reformasi 1998 juga tidak boleh dilupakan sehingga ada yang dipecat daripada universiti. Mereka bagai pembawa obor kesedaran, yang tiada berkepentingan.

Saya tetap yakin, jika ruang dan kesempatan diberikan, golongan mahasiswa hari ini tetap akan membawa panji-panji yang sama seperti generasi 1960-an dan awal 1970-an dahulu. Namun, sesuatu yang pasti, penguasa yang korup sentiasa menganggap masyarakat terpelajar sebagai seteru yang perlu dijinakkan. Peraturan makin diperketat, lingkungan disempitkan dan ruang perdebatan dikecilkan. Pemimpin universiti pula dipilih daripada kalangan pengampu dan kaki bodek. Masing-masing berlumba dan bersaing untuk memuaskan kehendak menteri.

Persoalan yang timbul, apakah minat dan kecenderungan positif mendekati gelodak rasa masyarakat ini benar-benar melebar di kalangan warga kampus, atau golongan yang sensitif dan prihatin ini tersudut dalam kelompok minoriti di menara gading? Mungkinkah sebahagian besar yang lain masih leka dengan rutin harian yang mementingkan diri sendiri semata-mata, atau langsung tidak terdorong untuk memahami pergolakan dan keresahan komuniti sekitar?


MELUNTURKAN KOMITMEN

Ada juga yang bimbang dengan suasana persekitaran yang turut melunturkan komitmen dan kesedaran anak muda sebagai agen perubahan, terutama selepas keluar daripada alam kampus. Memang diakui fenomena ini sentiasa berputar dalam lingkaran yang sudah diduga. Generasi yang begitu aktif dengan gerakan pelajar zaman 60-an dan 70-an pun dijangkiti wabak sama. Realiti dunia sebenar hanya menghakis daya juang yang dibekalkan di institut pengajian tinggi. Asakan kehidupan yang cukup rencam itu sering mengelirukan dan ramai idealis kampus kecundang.

Jika direnung perangkaan yang menunjukkan kira-kira 4.5 juta orang yang layak berdaftar sebagai pengundi tetapi masih belum berbuat demikian, tercetus kerisauan tentang kesedaran berpolitik anak-anak muda zaman sekarang. Lebih malang apabila dikatakan senario menunjukkan orang Melayu mencatat nisbah terlalu rendah berbanding bukan Melayu dalam pendaftaran sebagai pengundi baru selepas pilihan raya umum 2008. Manakala di kalangan parti politik, menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar, lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas tsunami politik, Mac 2008, dengan DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru, terutama di kalangan belia Cina.

Senarai punca dan alasan belia Melayu bersikap tidak peduli mungkin panjang, seperti himpitan Auku, budaya hedonisme dan pengaruh materialisme. Minat mereka untuk turut serta dalam agenda politik, termasuk dalam kegiatan paling minimum seperti pendaftaran sebagai pengundi, berada pada tahap yang cukup membimbangkan. Saya tidak pasti apakah anak-anak muda yang kelihatan prihatin dengan persoalan politik dan bersedia untuk berdemonstrasi memperjuangkan isu-isu rakyat sudah mendaftar sebagai pengundi.

Perkembangan pesat teknologi maklumat, arus globalisasi dan kemunculan kuasa siber memang mendorong pembentukan masyarakat yang lebih terbuka dan berpemikiran kritis. Ya, zaman penguasa menakrifkan segalanya buat rakyat sudah berakhir. Media "arus perdana" hilang sengat dan bisanya. Anak muda tidak perlu lagi turun bersesak-sesak mendengar pidato politik, sekadar menonton YouTube dari bilik tidur atau membaca berita-analisis terbaru yang segar daripada laman web dan blog. Pelbagai maklumat yang tidak ditapis boleh dilayari dengan mudah dan cepat.

Soalnya, mengapa dalam situasi yang begitu selesa dan secocok dengan amalan demokrasi yang matang (tanpa mengetepikan halangan dan sekatan masih berterusan, namun kita sudah ada jalan keluar), tiba-tiba kita dihadapkan dengan fenomena golongan muda (terutama orang Melayu) yang dikatakan tidak berminat dengan politik? Walhal, bagi penganalisis politik, perubahan di peringkat persekutuan hanya dapat dilakukan dalam pilihan raya akan datang jika kesedaran datang secara serentak daripada semua kaum, khususnya masyarakat Melayu. Sederap langkah diperlukan, bukannya satu kaum menolak BN sementara kaum yang lain masih mempertahankannya, seperti ditunjukkan dalam pilihan raya 1999 dan 2008.


TREND POLITIK MAHASISWA CINA


Secara lahiriah, kelihatan generasi muda bukan Melayu, terutama masyarakat Tionghua, seperti tidak mengambil hirau politik kepartaian. Mereka lebih prihatin dengan kegiatan ekonomi. Mahasiswa Melayu lebih berminat berpolitik khususnya dalam mengidentifikasikan diri dengan parti siasah tertentu.

Justeru, di mana silapnya sehingga masyarakat Melayu dikatakan yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi? Walhal parti-parti politik Melayu lebih banyak menjalankan aktiviti - dan ia tidak bermusim sifatnya - berbanding parti-parti lain. Begitu juga dengan kegiatan di kampus, yang dikuasai mahasiswa Melayu. Atau, mungkin keadaan sebenarnya tidak seperti yang dijangkakan itu? Pelajar Cina mungkin lebih selektif beraktiviti tetapi "kesedaran politiknya" jauh lebih matang?

Pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat, daripada semua parti komponen, harus meneliti secara mendalam kecenderungan dan budaya politik anak-anak muda ini. Kesetiaan mereka terhadap parti tidak sepekat generasi lebih dewasa. Golongan ini lebih mudah beralih arah jika dasar atau sikap sesebuah parti (atau pemimpinnya) dilihat tidak serasi lagi dengan mereka.

Jika mereka berasa dikesampingkan atau tidak diambil peduli, usaha rendahkan keupayaan mereka untuk melakukan "undi protes". Sokongan pada musim pilihan raya terdahulu sama sekali tidak mengikat mereka untuk terus mengundi parti atau calon yang sama untuk pilihan raya akan datang.

Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang, hujung minggu ini wajar memberi tumpuan khas terhadap gelagat anak muda dalam berpolitik. Selain merumuskan deraf manifesto awal pilihan raya umum ke-13 dan membincangkan isu-isu kritikal yang membantut kemajuan negeri-negeri yang diperintah Pakatan, usaha menggerakkan kesedaran orang muda, sekurang-kurangnya untuk mendaftar sebagai pemilih, seterusnya terlibat aktif sebagai agen reformasi, tidak boleh dilewat-lewatkan.

Pendedahan bahawa laman-laman sesawang atau blog pro-BN semakin popular mungkin satu petanda bahawa masyarakat kini lebih dahagakan maklumat atau perkembangan baru, meskipun ia disalurkan oleh "media lawan". Keghairahan ingin tahu itu cuba dimanfaatkan oleh strategis Umno. Ia bukanlahlah sesuatu yang patut digeruni.

Pakatan tidak perlu gentar dengan maklumat walaupun ia mendedahkan kelemahan kerajaan negeri yang dikuasainya ataupun membongkar karenah dalaman parti yang cuba diselindung. Kelemahan harus segera diatasi dan ditangani. Anak muda yang diasuh dengan keterbukaan, integriti dan ketelusan tidak mahu daya intelektual mereka diperbodohkan. Zaman untuk mengangguk dan menerima tanpa bahas sudah berlalu.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29816:anak-muda-dijangka-protes-pakatan-rakyat&catid=86:editor-harakah&Itemid=126

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...