Monday, December 20, 2010

Bekas anggota keselamatan rayu sumbangan RM1,000

Dis 19, 10 12:44pm

Seorang bekas anggota pasukan keselamatan zaman darurat yang bertugas dalam pasukan Special Constabel (SC) merayu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya meluluskan permohonannya bagi mendapatkan sumbangan khas sebanyak RM1,000 seperti yang pernah diterima rakan-rakannya.

Che An Ulong, 78, yang kini sudah uzur, tinggal bersama isterinya Hamsiah Din, 71, di sebuah rumah yang daif di Jalan Bakar Sampah, Kampung Raja, Kupang di Baling.

Katanya beliau sudah beberapa kali membuat permohonan mendapatkan sumbangan khas itu tetapi kecewa kerana permohonannya masih gagal.

Sambil menunjukkan surat tamat perkhidmatan sebagai anggota SC dengan memakai nombor badan 51955, beliau kesal kerana pihak tertentu saperti Persatuan Bekas Polis yang dianggotainya dengan nombor keahlian K 003082 gagal membantunya.

Che An berharap rayuannya untuk mendapatkan sumbangan saguhati khas RM1,000 kepada bekas polis yang berkhidmat semasa darurat dari 1948 hingga 1962 yang diterima rakan-rakannya sabelum ini akan menjadi kenyataan.

"Saya hairan bagaimana nama saya boleh tercicir daripada senarai penerima sumbangan khas itu, sedangkan saya telah kemukakan bukti surat tamat
perkhidmatan semasa mengisi borang permohonan bersama rakan-rakan lain yang pernah berkhidmat dahulu," katanya.

Beliau yang mula bertugas mulai 1 April 1954 pernah menerima latihan asas senjata selama beberapa bulan di sebuah pusat latihan polis sebelum dihantar ke kawasan operasi di Sungai Siput, Perak dalam tahun yang sama dan kemudian ditukarkan ke kawasan operasi Pengkalan Hulu, Perak pada 1956.

Ketika berlaku Rundingan Baling antara kerajaan yang diketuai bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai Setiausaha Agungnya Chin Peng pada 1955, Che An dan unitnya diletakkan di kawasan operasi di Pengkalan Hulu.

Beliau kini bergantung hidup dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya sebanyak RM300 sebulan selain mengambil upah menebas kebun milik kenalannya.

Rumah milik warga emas ini bumbungnya bocor di beberapa bahagian dan jika hujan lebat seluruh rumahnya akan basah.

"Walaupun saya ada anak, tetapi mareka juga ada tanggungan masing masing dan pendapatan mereka juga kecil," katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/151190

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...