Monday, December 20, 2010

Konvensyen: Pakatan Rakyat sedia hadapi PRU 13


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-2 semalam mempamerkan semangat semua ahli PAS, PKR dan DAP untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Pengarah konvensyen, Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, semangat itu turut diterjemah ke dalam satu buku manifesto ketiga-tiga parti mengandungi polisi Pakatan dan tawaran yang diberikan kepada rakyat.

“Konvensyen ini menunjukkan satu semangat yang kuat daripada semua ahli untuk persediaan menghadapi pilihan raya ke-13 dan keyakinan itu ditambah dengan dokumen iaitu buku oren di mana buku itu mengandungi pelbagai polisi yang lebih fokus mengnai apa yang Pakatan Rakyat cadangkan atau pun tawarkan kepada rakyat," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan konvensyen itu, beliau juga berkata, konvensyen sehari itu berjaya menjawab segala persoalan yang bermain di minda rakyat khususnya soal-soal yang sering dimainkan Umno Barisan Nasional (BN) seperti kedudukan agama Islam dan orang Melayu.

"Selaku pengarah saya megucapkan terima kasih kepada semua pihak dan kesepaduan yang ditunjukkan ketiga-tiga parti di peringkat jawatankuasa. Kejayaan ini bukan kejayaan saya selaku pengarah tetapi kejayaan bersama. Komitmen yang ditunjukkan adalah semata-mata untuk menjayakan Pakatan Rakyat.

"Yang paling penting, konvensyen ini telah banyak menggarap persoalan yang dilontarkan samaada soal agama Islam, Melayu, Raja -Raja Melayu, patriotisme telah kita jawab melalui ucapan-ucapan dan juga contoh yang ditunjukkan dari segi suasana konvensyen itu sendiri bahawa kita adalah satu pakatan yang temanya kalau diberi satu amanah oleh rakyat untuk membuat perubahan, kita mampu melakukannya," katanya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Parit Buntar juga menyifatkan konvensyen di Kepala Batas itu sebagai berjaya apabila berjaya mengumpulkan ribuan ahli malah melebihi daripada jangkaan sebenar.

"Konvensyen semalam berjaya mengumpulkan ketiga-tiga parti dalam jumlah yang di luar jangkaan kita. Jangkaan kita dalam 2,000 orang tapi yang datang lebih daripada 3,000 orang. Itu menandakan satu kejayaan dan juga keterlibatan semua ahli," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tambahnya lagi, konvensyen berkenaan juga berjaya menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai kejayaan-kejayaan negeri Pakatan rakyat yang sering dinafikan Umno BN melalui gerai-gerai pameran yang dibuka.

"Program ini juga berjaya mempamerkan kejayaan-kejayaan di bawah negeri Pakatan iaitu kita menyediakan booth di mana booth tersebut menyaksikan ramai pengunjung yang datang dan sekaligus menandakan bahawa kita berjaya memberikan maklumat tentang kejayaan-kejayaan yang dibuat oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat," katanya.

Konvensyen pertama Pakatan Rakyat diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Selangor, tahun lepas.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29937:konvensyen-pakatan-rakyat-sedia-hadapi-pru-13&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...