Saturday, December 18, 2010

Haram nikahi cucu isteri

Dr.Salam


Lelaki baru kahwin janda, haram nikahi cucu isteri


MENURUT hukum fiqah perkahwinan antara lelaki dan perempuan menjadi haram apabila ada pertalian yang terlarang di antara mereka iaitu (1) atas sebab nasab, (2) atas sebab pertalian kahwin atau semenda dan (3) atas sebab pertalian sesusuan.

Ini dapat dilihat dalam al-Quran yang berbunyi: "Dan
janganlah kamu kahwini (wanita) yang diperisterikan bapa kamu, kecuali apa yang berlaku pada masa yang lalu. "Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji dan dibenci (oleh Allah) serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita berikut): ibumu, anakmu, saudaramu (adik-beradik), saudara bapamu dan saudara ibumu, anak saudaramu yang lelaki, anak saudaramu yang perempuan, ibumu yang menyusukan kamu, saudara susuanmu, ibu isterimu, anak tiri yang dalam pemeliharaanmu daripada isteri yang kamu campuri, tetapi kalau kamu belum campuri mereka, maka tiadalah salah kamu mengahwininya.

"Dan bekas isteri anakmu sendiri yang berasal daripada benih kamu. Dan menghimpunkan dua beradik (untuk dikahwini) kecuali yang berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, (mengahwini) isteri orang, kecuali hamba yang kamu miliki. Itulah ketetapan hukum Allah ke atasmu. Dan dihalalkan bagi kamu wanita selain daripada itu, untuk kamu kahwini dengan hartamu secara bernikah bukan berzina. "Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati dengannya, maka berikanlah mereka mas kahwinnya sebagai suatu ketetapan. "Dan tiadalah kamu berdosa mengenai suatu yang dipersetujui bersama, sesudah ditetapkan mas kahwin itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Nisa' ayat 22-24).

Berkenaan cucu isteri anda di atas, dia termasuk dalam wanita yang haram dinikahi kerana hubungan atau pertalian pernikahan yang terbahagi kepada empat iaitu: (1) Isteri ayah (ibu tiri) dan terus ke atas (nenek daripada ibu tiri dan seterusnya); (2) Ibu isteri (mentua perempuan), nenek isteri daripada pihak ayah atau ibu dan terus ke atas, (3) Anak perempuan isteri dengan syarat isteri itu (ibu anak perempuan) yang sudah digauli, cucu perempuan isteri, dan terus ke bawah.

Demikian pula anak perempuan daripada anak lelaki tiri sebagaimana pendapat dan (4) Isteri daripada anak lelaki kandung (menantu) dan terus ke bawah.

Oleh itu, bersentuhan dengan cucu perempuan isteri tidak membatalkan wuduk. Anda juga diharamkan daripada mengahwininya apabila sudah berkahwin dan bersetubuh dengan neneknya.

Bagaimanapun, cucu perempuan isteri itu tidak termasuk dalam kategori waris untuk harta pusaka kerana tiada hubungan nasab.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...