Saturday, December 18, 2010

Keuntungan peminjam

RAP


MENJADI satu alasan kepada ramai orang pada masa kini tidak mahu menggunakan pinjaman perbankan Islam adalah kerana Kadar Pembiayaan Dasar (BFR) didapati tidak tetap atau dalam kata lain, sering berubah.

Persoalannya, boleh atau tidak sesebuah institusi perbankan Islam itu berbuat dan menggunakan cara demikian? Ini adalah satu fakta yang sering gagal difahami orang awam yang melihatnya sebagai satu kekurangan.


Sebenarnya, apabila bank Islam menggunakan BFR yang tidak tetap, ia adalah satu kelebihan kepada pelanggan.

Ini kerana BFR digunakan untuk produk yang pelbagai disebabkan pada ketika ini, semua perbankan Islam beroperasi di bawah sistem kewangan konvensional.


Justeru, dalam hala menentukan jumlah keuntungan yang disasarkan oleh sesebuah produk, rujukan dilakukan kepada Base Lending Rate (BLR) atau Kadar Pinjaman Pokok konvensional, tetapi dinamakan BFR kerana perbankan Islam hanya menggunakan BLR untuk semakan harga pasaran di Malaysia.


Istilah itu ditukar kepada BFR kerana institusi kewangan Islam tidak memberi pinjaman (lending) tetapi membeli pembiayaan (financing) melalui kontrak yang sah di sisi hukum Islam.

Antaranya, mereka menggunakan kontrak BBA (Bai Bithaman Ajil), selain digunakan terhadap produk AITAB (sewa beli) dan ‘Musharakah Mutanaqisah’.


Pengguna perlu memahami, jika BFR itu digunakan dalam produk di bawah kontrak BBA, ia jelas satu kelebihan kepada pelanggan kerana kontrak BBA mewajibkan bank dan pelanggan bersetuju atas satu harga yang akan dibayar secara ansuran pada masa depan.

Harga itu kemudiannya dipecahkan menjadi kadar peratusan supaya ia sesuai dengan sistem sedia ada di Malaysia.


Biasanya kadar harga jualan (untuk pembiayaan rumah) yang termeterai di dalam kontrak dikenakan oleh sebuah bank Islam akan berada pada paras lapan hingga 10 peratus (kiraan secara monthly rest).


Setelah itu, bank berkenaan akan memberi komitmen bahawa pembayaran bulanan yang perlu dilakukan oleh pelanggan akan dirujuk kepada BFR.


Jika kadar asal dipersetujui adalah 10 peratus (kadar ini biasanya kurang disedari pelanggan kerana ramai tidak membaca kontrak mereka), seterusnya pihak bank akan memaklumkan pembayaran bagi tahun pertama, kedua dan ketiga adalah BFR - 1 peratus.


Ini bermakna, jika BFR berada pada kadar 6.25 peratus, pelanggan hanya perlu membayar 6.25 peratus tolak satu peratus atau secara tepatnya, 5.25 peratus saja. Walhal kadar asal yang dipersetujui adalah 10 peratus.


Itulah yang dinamakan rebat atau diskaun bagi memastikan kadar dikenakan oleh bank Islam kekal kompetitif dengan kadar bank konvensional. Itulah yang perlu difahami pelanggan.


BFR adalah satu mekanisme yang diguna bank Islam untuk mengira diskaun yang boleh diberikan kepada pelanggan.


Dalam contoh tadi, bermakna pelanggan menerima diskaun sebanyak 4.75 peratus untuk bulan itu, jika tiba-tiba BFR turun pada bulan berikutanya, jumlah diskaun akan mengembang juga, demikian sebaliknya.


Namun, jika BFR meningkat melebihi 10 peratus, Bank Islam akan terhad kepada caj 10 peratus saja kerana itulah kadar asas (maksimum) yang dipersetujui. Bukankah itu sangat baik untuk pelanggan? Jika kadar BFR meningkat melebihi 10 peratus, bank Islam tetap hanya akan mengambil 10 peratus juga berbanding bank konvensional yang akan menaikkan kadar bayaran selari dengan BLR ke tahap berapa sekalipun.


Kaedah dan penggunaan ini disahkan halal oleh pelbagai Majlis Syariah bank Islam di Malaysia dan Timur Tengah.


Ia dinamakan produk ‘Home Financing-i variable’, produk sebegini ada ditawarkan oleh Hong Leong Islamic Bank, Maybank Islamic Banking, RHB Islamic Bank dan banyak lagi bank Islam lain.


Justeru, jika kadar tetap setinggi 10 peratus dikenakan oleh bank Islam bagi tempoh 30 tahun, ia sebenarnya masih murah dan hebat berbanding bank konvensional yang menggunakan BLR yang tidak tetap sepanjang masa.


Ini kerana, walaupun tetap, pembayaran bulanannya sentiasa ditawarkan diskaun oleh pihak bank Islam mengikut kadar BLR semasa.


Sedangkan jika BLR melepasi tahap 10 peratus, bayaran bulanan yang perlu dibayar kepada bank Islam terikat pada kadar 10 peratus saja dan ini tidak berlaku di bank konvensional.


Keistimewaan kepada pelanggan yang ingin tamatkan kontrak lebih awal Keistimewaan terhadap pembiayaan perumahan, aset atau kenderaan berdasarkan kontrak selama 30, 10 atau sembilan tahun kepada pelanggan boleh dilihat apabila resolusi Majlis Syariah Bank Negara Malaysia mewajibkan semua bank memberi diskaun kepada pelanggan yang ingin menamatkan kontrak hutang sebelum tempoh matang.


Ini bermakna pelanggan tidak perlu lagi mengeluh untuk membayar harga penuh secara maksimum mengikut tempoh matang pembiayaan, sebagaimana contoh pembiayaan perumahan yang mencecah tempoh 25 tahun.


Selain itu, orang ramai tidak boleh membandingkannya di antara satu bank dengan bank lain kerana setiap bank mempunyai kadar lebih pelbagai lagi, bergantung kepada jumlah peratusan pinjaman.


Jika anda hanya meminjam 70 peratus daripada harga rumah, kadarnya berbeza dengan 90 peratus. Demikian juga di bank Islam.


Sebarang perbandingan mestilah sama di kedua-dua belah pihak.


Kesimpulan jawapan kepada soalan ini, majoriti pakar syariah di dalam dan luar negara bersetuju dengan penggunaan BFR dalam sistem penentuan harga, keuntungan dan diskaun yang akan dikenakan bank Islam.


Oleh itu, kefahaman mengenai konsep ini perlu diambil perhatian oleh pelanggan, khususnya dalam membezakan keistimewaan perbankan Islam dengan bank konvensional lain.

http://www.hmetro.com.my/articles/Keuntunganpeminjam/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...