Sunday, December 19, 2010

SMS akhir

SMS akhir

Oleh IBRAHIM ISA
ibrahim@hmetro.com.my

BATU PAHAT: Mangsa pembunuhan kejam yang ditemui kira-kira 100 meter dari rumahnya di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, kelmarin, dikatakan sempat menghantar SMS nyawanya terancam kepada seorang rakan ketika kejadian, Rabu lalu.

Malangnya, mangsa, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra Tongkang Pechah, Siti Mazni Abdul Rahman, 14, gagal memberi lokasi menyebabkan rakannya itu tak dapat memberikan bantuan dan mendiamkan diri.

Nenek mangsa, Mailiah Idris, 62, berkata perkara itu dimaklumkan bapa arwah, Abdul Rahman Hassan, 43, apabila dia mencari anak sulung daripada empat beradik itu sehari selepas dilaporkan hilang.

“Saya ada di rumah ketika kejadian dan Siti Mazni memberitahu ingin keluar rumah untuk bertemu rakan di kawasan berhampiran pada kira-kira jam 5 petang.

“Selepas itu dia tidak pulang ke rumah dan menganggap dia terus membantu ibu bapanya berniaga roti canai di Tongkang Pechah.

“Bagaimanapun, apabila ibu bapanya pulang dan mencarinya, barulah kami sedar kehilangannya dan membuat laporan polis di balai Tongkang Pechah keesokannya,” katanya.

Menurutnya, selain membuat laporan polis bapa arwah menghubungi beberapa rakan dan salah seorang daripada mereka memberitahu, arwah sempat menghantar SMS mengatakan dia akan dibunuh.

Bagaimanapun, katanya, rakannya itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana arwah tidak sempat memberitahu lokasi dia berada.

“Kami hanya tahu arwah berada di kebun sejauh kira-kira 100 meter dari rumah apabila sepasukan polis datang ke kawasan itu jam 5 petang kelmarin,” katanya.

Mak cik mangsa, Arina Syairah Muhammad Fauzi, 18, berkata dia bermimpi arwah bergelut dengan lelaki selama tiga malam berturut-turut, sebelum diberitahu arwah ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kebun kelapa sawit.

Katanya, kali terakhir dia bertemu mangsa Jumaat lalu sebelum pergi ke Kuala Lumpur bersama rakan sekolah.

Menurutnya, bermula Ahad hingga Selasa, dia bermimpi arwah yang memakai kemeja-t berwarna merah jambu, bergelut dengan lelaki menyebabkannya bimbang dan menghubungi arwah pada Selasa lalu.

“Kali terakhir kami berbual, saya dapati dia ceria seperti biasa menyebabkan saya tidak menyangkakan apa-apa kejadian buruk akan berlaku terhadapnya.

“Bagaimanapun, saya diberitahu dia hilang sejak Rabu lalu seolah-olah mengiyakan mimpi buruk yang saya alami itu, sebelum ditemui meninggal dunia Jumaat lalu,” katanya.

Menurutnya, mereka yang rapat sejak kecil tidak menyangka kejadian itu akan berlaku terhadap mangsa dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memberkas penjenayah terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, bapa mangsa membuat laporan polis kehilangan anak perempuan berusia 14 tahun Khamis lalu dan sepasukan polis menyiasat aduan berkenaan.

“Bagaimanapun, tengah hari kelmarin suspek berusia 15 tahun datang ke balai polis membuat laporan mengatakan dia melihat satu pembunuhan dilakukan seorang rakannya, di kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah di sini, menyebabkan kami menahan suspek kedua berusia 16 tahun itu.

“Namun, hasil siasatan mendapati suspek pertama turut terbabit sebelum kami dibawa ke lokasi pembunuhan dan menemui mangsa pada kira-kira jam 5 petang kelmarin,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/SMSakhir/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...