KUALA LUMPUR: Menyedihkan apabila tiga gadis termasuk dua antaranya masih di bawah umur dikesan mengandung selepas melarikan diri kerana mengikut teman lelaki masing-masing.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya menerima 16 kes aduan membabitkan remaja perempuan meninggalkan rumah selepas terpedaya dengan ajakan teman lelaki yang baru dikenali melalui laman sembang, sepanjang tahun lalu.
“Sebaik ibu bapa gadis terbabit membuat aduan di pejabat kami dan kemudian disiarkan akhbar, sebahagian gadis berusia antara 14 hingga 19 tahun itu kembali ke pangkuan keluarga.
“Namun, tiga daripada gadis itu disahkan mengandung menyebabkan ibu bapa mereka terpaksa melaporkan kejadian itu kepada polis. Lebih mengejutkan lagi, dua daripadanya masih bawah umur begitu juga teman lelaki mereka,” katanya ketika sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.
Difahamkan, kebanyakan gadis terbabit mudah terpedaya dengan pujukan lelaki walaupun baru dikenali melalui laman sembang.
Dalam kes terbaru, pihaknya menerima dua lagi aduan membabitkan kehilangan gadis berusia 17 dan 23 tahun berasal dari Perak dan Johor.
Menurutnya, seorang remaja berusia 17 tahun dikatakan hilang di Tapah, Perak, dekat sini, 30 Disember lalu selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui sebuah laman sembang.
Mangsa, dipercayai keluar rumah selepas menerima kunjungan seorang lelaki berusia 20-an yang baru dikenalinya pada hari berkenaan.
Ibu mangsa hanya mahu dikenali sebagai Bee Poh, 48, berkata anaknya ada menelefon memaklumkan lelaki terbabit yang berasal dari Johor hendak datang ke rumahnya untuk berjumpa anak bongsunya itu.
“Saya tidak kisah dan membenarkan lelaki itu berjumpa dengan anak saya. Bagaimanapun, selepas anak saya menghantar lelaki itu ke sebuah perhentian bas berhampiran, anak saya itu kemudian bertindak mengambil beg pakaiannya sebelum bergegas keluar rumah,” katanya.
Difahamkan, ketika kejadian, dia yang menjalankan perniagaan keranda tiada di rumah dan hanya mengetahui kehilangan anak bongsu daripada empat beradik itu sebaik dimaklumkan anak keduanya.
“Saya segera pulang ke rumah dan mendapati satu nota ditinggalkan anak saya memberitahu mahu keluar bercuti untuk beberapa hari dan akan pulang semula ke rumah. “Selepas membaca nota berkenaan, saya segera menghubungi anak saya itu namun gagal dan masih tidak pulang sehingga sekarang,” katanya.
Menurutnya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Ulu Bernam, di sini kerana bimbang keselamatan anak gadisnya itu.
Dalam kes berasingan, seorang lagi gadis, Tan Mei She,23, dirayu pulang selepas dipercayai hilang sejak tiga tahun lalu.
Michael berkata, mangsa dipercayai mendapat pekerjaan di Melaka, namun masih tidak pulang sehingga kini dan ibu bapa mangsa sudah membuat laporan di sebuah balai polis di Skudai, Johor pada 10 November lalu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/3remajahamillepaslariikutkekasih/Article/index_html
No comments:
Post a Comment