Friday, January 14, 2011

BAM minta Misbun timbang semula


NADZMI (kiri) mempengerusikan mesyuarat Exco BAM semalam bagi membincangkan isu perletakan jawatan Misbun.


ISU peletakan jawatan jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek nampaknya akan berlanjutan. Ini kerana, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah sebulat suara membuat keputusan meminta Misbun mempertimbangkan semula hasratnya untuk meletak jawatan.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco badan induk tersebut di Bukit Kiara, semalam.

Jika dibuat penilaian berdasarkan keputusan oleh barisan Exco BAM itu, ia sememangnya merupakan satu tindakan yang wajar demi kepentingan sukan badminton tanah air.

Lebih-lebih lagi acara tersebut menjadi sandaran utama Malaysia bagi memburu pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London menerusi jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei yang berada dibawah kendalian Misbun.

“Kami (BAM) tidak mahu persiapan ke Sukan Olimpik 2012 terjejas disebabkan isu-isu sebegini dan diharapkan Misbun dapat mempertimbangkan semula hasratnya demi kepentingan negara,” jelas Nadzmi.

Bagaimanapun, persoalannya kini adakah Misbun sedia untuk kembali ke pangkuan BAM selepas punca utama jurulatih itu meletak jawatan adalah disebabkan perbezaan pendapat terhadap sistem kejurulatihan baru badan induk tersebut.

Mungkin Misbun akan menarik balik keputusannya itu andai BAM merombak semula sistem kejurulatihan mereka dan mengikut segala kehendak yang dihajati beliau.

Namun, adakah BAM sedia untuk melakukannya jika itu yang dimahukan Misbun?

Berdasarkan apa yang disuarakan Nadzmi, BAM dilihat tidak akan sesekali berbuat demikian.

Ia cukup jelas apabila Nadzmi tetap mempertahankan keputusan yang dibuat badan induk tersebut terhadap perubahan sistem kejurulatihan ketika ini.

“Kami lakukan perubahan disebabkan beberapa faktor dan antaranya adalah ekoran kegagalan skuad badminton ketika Kejohanan Piala Thomas pada Mei tahun lalu.

“Bukan saya seorang yang menentukan keputusan ini namun ia telah dipersetujui oleh ahli-ahli majlis BAM dan berdasarkan suara majoriti. Mahu ataupun tidak, kita perlu terima perubahan,” kata Nadzmi.

Namun, Nadzmi masih tetap memberikan ruang buat Misbun untuk mengadakan perbincangan dengan BAM untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan sistem kejurulatihan yang baru itu.

“Perkara ini masih boleh dibincangkan dan BAM sendiri sedia untuk mendengar penjelasan daripada Misbun mengenai rasa tidak puas hatinya dengan sistem tersebut.

“Pada masa yang sama kita akan mencari satu jalan penyelesaian yang terbaik,” kata Nadzmi lagi.

Drama antara Misbun dengan BAM bermula selepas jurulatih itu menghantar surat peletakan jawatannya menerusi e-mail kepada badan induk tersebut pada 31 Disember 2010 lalu tanpa mengemukakan sebarang alasan.

Ketika itu, pelbagai spekulasi dibuat mengenai punca sebenar Misbun berbuat demikian.

Namun, perbezaan pendapat terhadap sistem kejurulatihan BAM yang baru menjadi punca sebenar Misbun membuat keputusan untuk meletak jawatan.

Jika sebelum ini, Misbun hanya perlu melatih beberapa pemain sahaja iaitu Chong Wei dan anaknya, Misbun Ramdan Misbun tetapi mengikut sistem kejurulatihan yang baru, beliau terpaksa melatih sekelompok besar pemain di bawah kendaliannya.

Lebih memburukkan lagi keadaan, mengikut sistem baru itu juga, anak Misbun kini bukan lagi berada di bawah kendaliannya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...