Friday, January 14, 2011

Lelaki maut ketika cuba ragut kali kedua

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut apabila motosikalnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika sedang membuat cubaan meragut buat kali kedua.

Lelaki berumur 24 tahun itu cedera parah di kepala dalam kemalangan yang berlaku di depan kompleks beli-belah di Jalan Tun Razak jam 6 pagi semalam.

Dia dikatakan tidak berpuas hati dengan hasil pertama lantas cuba meragut kali kedua, namun nasib tidak menyebelahi kerana motosikal yang dinaikinya hilang kawalan.

Dalam percubaan kedua itu, lelaki berkenaan yang berasal dari Senai cuba meragut mangsa yang sedang membonceng motosikal dengan suaminya.

Bagaimanapun dia hilang kawalan apabila mangsa menahan beg tangannya lalu motor yang dinaiki merempuh pembahagi jalan.

Sebelum terlibat kemalangan itu, lelaki berkenaan berjaya meragut beg tangan seorang wanita berusia 30-an di kawasan yang sama.

Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaakob berkata, lelaki itu dipercayai penagih dadah dan ketika meragut lelaki tersebut hanya berseorangan tanpa ditemani sesiapa.

Katanya, peragut berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa ragut pula hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Rentetan kes ini, Zainuddin yakin beberapa kes ragut sekitar bandar raya ini kini dapat diselesaikan.

“Peragut yang menaiki motosikal Kawasaki meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan serius di kepala,” katanya kepada pemberita, semalam.

Zainuddin berkata, pihaknya juga menemui semula telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menyiasat tempat persembunyian suspek dan sama ada motosikal tersebut adalah motosikal curi.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai terus memberi kerjasama bagi membanteras kegiatan jenayah dengan dengan menghubungi 07-2212999 atau balai polis berhampiran.

http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story8611518.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...