Friday, January 14, 2011

Lebam main ‘cina buta’

TANAH MERAH: “Ketika kedua-dua mata ditutup, saya tidak nampak sebarang objek dan hanya menerima arahan. Satu daripada arahan yang diberikan itu meminta saya supaya menundukkan kepala ke bawah sambil berlari.

“Pada masa sama, tangan saya ditarik dari belakang, menyebabkan kepala saya berpinar-pinar selepas terhantuk ke tiang besi,” kata seorang pelajar tingkatan satu, Nur Arfah Mohd Nordin, 13, di rumahnya di Kampung Signal, Bukit Panau, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Khamis lalu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sains Pasir Puteh itu cedera di tengkuk, kepala dan lebam di paha kanan ketika diarahkan dua senior untuk bermain permainan ‘cina buta’.

Akibat kejadian itu, Nur Arfah yang sedang menyertai program orientasi sekolah bagi kemasukan pelajar baru menghadapi kesukaran untuk bergerak dan terpaksa menerima rawatan di wad Hospital Tanah Merah (HTM), semalam.


“Saya hanya mengikut arahan, namun akhirnya saya terlanggar tiang besi menyebabkan saya jatuh,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.


Katanya, melihat keadaannya yang sukar bergerak, guru sekolah berkenaan membawanya ke Hospital Tengku Anis, Pasir Putih, sebelum dirawat sebagai pesakit luar.

Bagaimanapun, kesakitannya berterusan menyebabkan kakaknya, Noorazuliaza Mohd Nordin, 15, yang juga belajar di sekolah itu membuat keputusan menghubungi ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan lanjut di HTM, dekat sini.


Ibunya, Maimun Mat Yusof, 39, berkata, dia terkejut sebaik menerima panggilan daripada anaknya mengenai kejadian menimpa Nur Arfah.

“Memang saya terkejut kerana kejadian seperti itu tidak pernah berlaku kepada anak saya. “Saya cuba menghubungi pihak sekolah bagi mendapatkan penjelasan, bagaimanapun gagal. “Saya kecewa sehinggakan anak sulung saya yang belajar di tingkatan tiga merayu untuk tidak bersekolah di sana,” katanya dalam nada kecewa.


Katanya, sebelum ini pelbagai berita kurang senang didengarnya, tetapi kejadian menimpa anaknya itu menyebabkan persepsinya berubah sehingga terpaksa melakukan tindakan yang sewajarnya.


“Saya dan suami sudah berpenat mencari rezeki demi anak-anak dan usaha kami berbaloi apabila anak dimasukkan ke sekolah terbaik. Tidak ada seorang ibu bapa mahu anak mereka diperlakukan sedemikian,” katanya. Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, kelmarin dan anaknya bakal menerima rawatan susulan pada 24 Januari ini akibat kecederaan berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan mendapati ia berlaku secara tidak sengaja.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lebammain__8216_cinabuta__8217_/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...