Thursday, January 6, 2011

Belum ada penyelesaian


AHMAD SHABERY (empat dari kiri) berbincang sesuatu dengan Nadzmi di pejabatnya di Putrajaya semalam.


PERTEMUAN di antara Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd. Nadzmi Salleh bagi membincangkan isu berhubung peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek masih belum ada jalan penyelesaian.

Sebaliknya Shabery berkata, pertemuan yang diadakan di pejabatnya di Putrajaya semalam adalah untuk mendengar penjelasan daripada Nadzmi sendiri selaku presiden BAM berhubung isu yang sedang melanda badan induk itu ketika ini.

"Saya masih belum membuat sebarang keputusan berhubung isu ini kerana saya baru mendengar penjelasan daripada presiden BAM sahaja.

"Saya fikir lebih elok saya mendengar penjelasan daripada Misbun pula dan selepas itu nanti barulah sebarang keputusan boleh dibuat," kata Shabery ketika sesi sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Nadzmi di Putrajaya semalam.

Ditanya apakah yang dibincangkan dengan Nadzmi sepanjang pertemuan selama sejam itu, Shabery menjawab: "Tidak elok rasanya saya dedahkan perbincangan kami pada sidang media ini.

"Seperti yang saya maklumkan, saya mahu mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung perkara ini," ujar Shabery.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkian bahawa keputusan yang dibuat Misbun untuk meletak jawatan adalah berpunca daripada salah faham di antara jurulatih tersebut dengan pihak pengurusan BAM.

"Mungkin ada salah faham dalam beberapa keputusan yang dibuat baik Misbun mahupun pihak pengurusan BAM sendiri," jelas Shabery.

Shabery turut mengingatkan Misbun agar setiap keputusan yang dilakukannya perlulah memikirkan demi kepentingan sukan badminton tanah air.

"Saya tidak mahu isu-isu seperti ini menjejaskan pembangunan sukan badminton negara dan sekaligus terus malap tanpa sebarang kejayaan di pentas antarabangsa," tambah Shabery.

Sementara itu, hasrat pihak media untuk bertemu dan mendengar penjelasan daripada Nadzmi tidak kesampaian selepas presiden BAM itu bergegas pulang sejurus tamat perbincangan beliau bersama Shabery.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...