sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei akan mengikut jejak langkah jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek yang bertindak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kelmarin.
Chong Wei ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam, berkata, tindakannya berbuat demikian kerana dia mahu kekal dilatih oleh Misbun, selain tiada persefahaman antara dirinya dan juga BAM.
"Saya akan ikut jurulatih, kalau dia kekal bersama BAM, maka saya akan ke kekal di BAM, tetapi jika dia keluar saya pun akan ikut jejak langkahnya," katanya yang dibentuk Misbun sejak usianya masih remaja.
Laporan sebuah akhbar kelmarin memetik Pengurus Besar BAM, Kenny Goh mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Disember 2010 yang dihantar melalui e-mel ke pejabat BAM. Goh bagaimanapun, tidak menyatakan sebab peletakan jawatan tersebut.
Pemain berusia 28 tahun itu, turut mendedahkan masalah dengan pengurusan BAM sebagai punca kemelut tersebut berlaku.
Katanya, BAM hanya tahu mencari silap pemain, jika mereka tewas pada mana-mana pertandingan yang disertai, tetapi sekiranya kejayaan yang diraih mereka tidak pula menghargainya.
"Semua masalah ini melibatkan pengurusan BAM, mereka hanya tahu minta laporan kalau kita kalah dan jika kita menang, mereka tak minta laporan pun. Tidak pula mereka tanya bagaimana saya boleh menang," ujarnya.
Menurut Chong Wei, dia ada menghubungi jurulatihnya itu bagi meminta penjelasan mengenai peletakan jawatan tersebut.
"Saya ada hubungi jurulatih saya, dia minta semua orang hormati keputusan dia. Keputusan dia memang sudah muktamad. Saya pula akan ikut ke mana sahaja dia pergi.
"Saya sedih dengan keadaan ini, Misbun adalah jurulatih saya. Dia telah naikkan nama saya, daripada tiada apa-apa sehinggalah saya berada di tahap sekarang. Tak mungkin saya tinggalkan dia bersendirian," tegasnya.
Chong Wei berkata, hari ini dia akan berangkat ke Taiwan tanpa ditemani Misbun bagi menghadapi Terbuka Taiwan dan hanya akan dibantu oleh seorang penolong jurulatih.
Walau apa juga keputusan selepas ini, jelas Chong Wei, dia akan menunggu kepulangan Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh yang kini berada di luar negara untuk berbincang mengenai kemelut tersebut.
Walau apa juga keputusan selepas ini, jelas Chong Wei, dia akan menunggu kepulangan Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh yang kini berada di luar negara untuk berbincang mengenai kemelut tersebut.
"Saya harap persiapan bagi menghadapi Terbuka Malaysia tidak terjejas dan masalah ini dapat diselesaikan segera, bukan mudah tukar jurulatih, saya telah bersama dengan Misbun terlalu lama," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada presiden yang kini berada di luar negara untuk memutuskan mengenai isu tersebut.
"Memang kita ada terima surat peletakan jawatan oleh Misbun dan kita juga telah edarkan kepada semua Ahli Jawatankuasa sebagai makluman," katanya.
Chin Chai yang enggan mengulas mengenai punca peletakan jawatan itu, memberitahu, Nadzmi hanya akan kembali ke tanah air, esok.
Chin Chai yang enggan mengulas mengenai punca peletakan jawatan itu, memberitahu, Nadzmi hanya akan kembali ke tanah air, esok.
Utusan Malaysia 3.1.2011
No comments:
Post a Comment