Sunday, January 16, 2011

Kurang ilmu psikologi

KUALA LUMPUR: Kurangnya ilmu psikologi dan komunikasi sosial di kalangan wanita menjadi punca mereka mudah terpedaya dengan janji manis dan godaan ‘buaya profesional’ yang sentiasa mencari kesempatan menipu bagi mendapatkan kemewahan hidup.

Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah, (gambar) berkata latar belakang pendidikan tinggi bukan benteng kepada wanita menyelamatkan diri menjadi mangsa lelaki penipu. “Segelintir wanita profesional menyangka ilmu pengetahuan dimiliki sudah memadai membuat penilaian dan mengenal pasti golongan lelaki buaya yang datang dengan tujuan jahat,” katanya ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam.


Laporan itu menyebut seorang lelaki yang mempunyai dua isteri dan lima anak licik memperdaya lapan wanita untuk melabur dalam syarikatnya dengan menjanjikan keuntungan berlipat ganda dalam tempoh singkat dengan berbekalkan wajah tampan dan kepetahan berkata-kata. Selepas mengikis wang wanita dipikat, kasanova berusia 45 tahun terbabit menghilangkan diri menyebabkan mangsa kerugian besar apabila tidak mendapat pulangan dijanjikan.

Bagaimanapun, kelicikannya berakhir apabila ditahan di rumahnya di Kampung Melayu Subang, dekat sini, pada 7 Januari lalu. Ia berikutan laporan polis mangsa terbarunya, seorang doktor wanita yang menyerahkan kepadanya wang pelaburan RM300,000.

Dr Robiah berkata, selain sikap mahu cepat kaya dengan cara mudah, wanita juga kurang membuat siasatan terhadap sesuatu perniagaan kerana tidak mahu dianggap cerewet.

Jangan berlagak pandai, dapatkan nasihat rakan, ahli keluarga atau orang lain terlebih dulu. Ini kerana mereka yang mudah ditipu biasanya tidak mempunyai pengalaman dan langsung tidak mahu berkongsi pengalaman orang lain,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kurangilmupsikologi/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...