Sunday, January 16, 2011

Pelabur serai terpaksa gigit jari

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

KECEWA…(dari kiri) Mohamad Diah, Rahsidi dan Rizal menunjukkan surat  perjanjian yang ditandatangani dan salinan laporan polis yang dibuat mereka, semalam.
KECEWA…(dari kiri) Mohamad Diah, Rahsidi dan Rizal menunjukkan surat perjanjian yang ditandatangani dan salinan laporan polis yang dibuat mereka, semalam.

KUALA KUBU BHARU: “Saya geram kerana pelaburan dalam projek tanaman serai berkelompok ini mengakibatkan saya kerugian puluhan ribu ringgit,” kata Mohamad Diah Hamidon, 31, mangsa sindiket pelaburan tidak berdaftar secara sah.

Menurutnya, dia seorang daripada 35 mangsa yang mengalami kerugian RM600, 000 selepas melabur antara RM5,000 dan RM30, 000 seorang mengikut saiz tanah yang dilabur untuk projek tanaman serai di kawasan Felda Sungai Tengi di sini.


Katanya, dia kerugian RM15,000 selepas menyertai projek itu awal tahun lalu dan kini hampir berputih mata kerana masih gagal mendapatkan semula wang dibelanjakan itu.

“Saya dan rakan kecewa apabila diperdaya anak tempatan yang gagal memaklumkan status pelaburan itu.


“Kami mendapat tahu pemilik syarikat terbabit melarikan diri bersama wang pelaburan kami ke Kelantan beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Mohd Diah berkata, dia bersama mangsa lain membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Bharu, pada 16 Oktober lalu.

Katanya, dia tertarik menyertai skim pelaburan pertanian itu apabila dijanjikan pulangan serta keuntungan melebihi RM80,000.


Seorang lagi mangsa, Rizal Kasmu, 26, berkata, dia melabur RM10,000 dengan dijanjikan pulangan mencecah RM68,000 mengikut hasil tuaian serai seluas lebih sehektar.

Namun, katanya, bagaikan indah khabar dari rupa, apabila dia bukan saja tidak menerima bayaran keuntungan, malah syarikat terbabit masih berhutang benih serai bernilai RM2,500.


“Berdasarkan perjanjian, saya sepatutnya menerima hasil keuntungan RM17,000 untuk 0.4 hektar tanah yang diusahakan. “Namun, walaupun syarikat itu sudah menuai hasil serai seluas 0.4 hektar, tetapi keuntungan dijanjikan belum diterima,” katanya.


Rakannya, Rahsidi Hussain, 36, berkata, wang RM10,000 yang dilaburkan dalam projek itu lesap begitu sahaja.


Menurutnya, kini pengurus syarikat yang turut mendaftarkan dua lagi syarikat dimiliki isteri dan adik-beradiknya menghilangkan diri bersama hasil dan wang pelaburannya.


“Saya memulakan projek itu pada Jun 2009 dan berdasarkan surat perjanjian, saya mampu menuai hasil tanaman itu selepas enam bulan.


“Tetapi, kami ditipu,” katanya yang berasal dari Ampang, Selangor.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelaburseraiterpaksagigitjari/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...