Tuesday, February 22, 2011

GAMIS tidak mahu kemenangan Pro-M dikait parti politik






Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Kejayaan pelajar Pro Mahasiswa menguasai lapan daripada 13 kampus dalam pilihanraya semalam memberikan petanda baik kepada gerak kerja anti Barisan Nasional.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dalam satu kenyataannya melalui twitter berkata, kemenangan itu adalah petanda baik (untuk Pakatan).

Dalam pilihan raya kampus semalam, kumpulan Pro Mahasiswa menguasai kampus Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian (USMKK), Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan (UMSL) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Hari ini pilihan raya untuk kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) sedang berlangsung.

Pro-M dijangka akan menang di UIA kerana mereka telah berjaya merampas 14 kerusi tanpa bertanding dalam kampus itu.

Berbanding sesi lalu, pilihan raya kali ini menyaksikan Pro Mahasiswa mencatatkan sejarah dengan menawan kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) di beberapa universiti selepas tempoh yang lama dikuasai Pro Aspirasi.

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) tidak bersetuju dengan pandangan Fuziah yang didakwa cuba menunjukkan mereka berpihak kepada mana-mana parti politik.

Menurut Ketua Penerangan GAMIS, Mohd Yusof Hadhari, pihaknya berasa kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR itu.

“Mahasiswa berperanan sebagai ‘check and balance’ yang akan menentukan sokongan kepada kerajaan yang diperintah BN ataupun PR bukan kerana agenda politik mereka tetapi menilai sejauh mana keadilan, kesaksamaan dan ketelusan yang dibawa oleh sesebuah parti dalam negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan mahasiswa adalah golongan bersifat bebas dan tidak perlu melabelkan mahasiswa pro kerajaan atau pro pembangkang.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30998:gamis-tidak-mahu-kemenangan-pro-m-dikait-parti-politik&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...