Wednesday, February 23, 2011

Selangor Terkini: Umno Selangor mungkin terlibat








Harakahdaily

SHAH ALAM, 22 Feb: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin mendakwa Umno Selangor mungkin ada kaitan dalam penerbitan dan penyebaran akhbar Selangor Terkini..

Bercakap pada sidang media di bangunan SUK hari ini beliau berkata, perkara itu jelas apabila akhbar tersebut diedar bersama kalendar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang Abdul Shukor Idrus pada Sabtu lalu ketika sambutan Maulidur Rasul.

Selain menggunakan logo rasmi kerajaan Selangor tanpa kebenaran,akhbar itu juga didakwa menabur fitnah dan cuba mengaburi pemikiran rakyat dengan bertindak menghentam pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis menyiasat perkara itu lebih terperinci sama ada ianya disengajakan atau kebetulan.

“Kami desak Kementerian Dalam Negeri, kerajaan, polis untuk siasat lebih terperinci dakwaan bahawa Umno Selangor terlibat.

“Malah penggunaan logo rasmi tanpa kebenaran adalah kesalahan serius kerana tidak menghormati undang-undang dan Sultan Selangor. Inilah penderhakaan sebenar,” katanya.


Beliau juga memberitahu akan menyerahkan bukti terbaru itu kepada pihak polis hari ini.

Ketika ditanya dalang utama disebalik akhbar itu, beliau berkata “Datuk Noh Omar sebahagian daripada Umno Selangor.”

Faekah berkata akhbar itu juga tidak mempunyai lesen penerbitan.

Pada 17 Januari lalu kerajaan Negeri melalui seorang pegawai kanan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam terhadap akhbar berkenaan.

Namun menurut Faekah, pihaknya masih tidak menerima maklumat mengenai perkembangan terkini hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat.

Menurut Faekah, pihaknya sedia memberi bantuan kepada polis dengan mendapat khidmat penyiasat persendirian bagi mencari dalang disebalik penerbitan akhbar terbabit.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31002:selangor-terkini-umno-selangor-mungkin-terlibat-&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...